Buru 'Pak Belang' untuk pasaran gelap

A
A
A

KHAZANAH alam memberi berjuta erti kepada sesebuah negara dan pencintanya. Namun, saban hari negara sering dikejutkan dengan kepupusan pelbagai spesies flora dan fauna.

Bukan sahaja tumbuhan yang kian lenyap kerana kerakusan manusia, haiwan liar juga turut terjejas dengan jumlahnya yang semakim menyusut.

Antara spesies kian terancam dan mendapat perhatian kerajaan adalah Harimau Malaya yang merupakan simbol ikonik dan lambang kemegahan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Harimau Malaya atau Harimau Belang (Panthera tigris jacksonii) adalah sebahagian daripada sub-spesies harimau yang terdapat di seluruh dunia yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia sahaja.

Menurutnya, berdasarkan kajian, jumlah Harimau Malaya yang ada sekitar 170 hingga 200 ekor sahaja masa kini.

"Jika dulu pada tahun 2013 hingga 2015 bilangannya dianggarkan sekitar 250 hingga 340 ekor, tapi hari ini jumlahnya semakin menyusut. Kita akan terus berjuang untuk mempertahankan hidupan liar terutama Harimau Malaya daripada terus terancam.

"Pelbagai faktor berlakunya penurunan jumlah populasi spesies ini antaranya pemburuan, jerat, pengecilan habitat dan sebagainya. Berdasarkan pengalaman saya, lebih 5,000 jerat telah dikumpulkan sejak 10 tahun lalu disebabkan pencerobohan luar membabitkan sindiket,” katanya kepada Sinar Harian.

Modus operandi

Artikel Berkaitan:

Abdul Kadir berkata, antara faktor kepupusan harimau adalah disebabkan kegiatan pemburuan haram yang kebanyakannya dilakukan oleh warga asing.

"Kita mengesan beberapa modus operandi pemburu haram. Antaranya adalah mereka akan masuk ke dalam negara dengan cara yang sah sebagai pelancong dan ada yang mempunyai permit kerja di sektor perkilangan.

"Ada di antara pemburu (warga asing) ini duduk di Malaysia melebihi tempoh yang ditetapkan seterusnya memasuki kawasan taman negara dalam tempoh yang lama sehingga berbulan-bulan. Mereka akan memasang jerat dihampir setiap kawasan yang dilalui dan laluan hidupan liar yang dikenal pasti.

"Daging hidupan liar yang berjaya dijerat turut dijadikan makanan pemburu haram sepanjang berada di dalam hutan. Bahagian-bahagian hidupan liar yang diingini akan dibawa pulang ke negara asal atau jualan terus kepada agen sindiket pasaran gelap di Malaysia atau luar," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan wujud rangkaian sindiket di pasaran gelap yang mengupah pemasang jerat haram dari kalangan warga asing dan tempatan kerana terdapat permintaan dari dalam dan luar negara bagi setiap spesies hidupan liar di Malaysia.

"Soal harga itu bergantung dan sentiasa berubah-ubah mengikut permintaan pasaran gelap.

"Berdasarkan siasatan yang kita lakukan sebelum ini, seekor harimau dewasa jantan dikatakan boleh mencecah sehingga RM300,000 di pasaran gelap meliputi seluruh anggota badan termasuk tulang, kulit, daging, kuku dan misai yang kononnya boleh dijadikan ubat," katanya.

Abdul Kadir berkata, tidak dinafikan selain pembabitan warga tempatan, rata-rata pemburu ini terdiri daripada warga Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand serta Indonesia.

Selain itu, beliau juga mendedahkan terdapat penjualan binatang liar ini menerusi medium online.

"Perhilitan pernah merekodkan kes penjualan anak harimau hidup dengan harga sekitar RM3,000 hingga RM5,000. Bukan sahaja harimau, ada juga binatang lain.

"Pemantauan ini kita masih teruskan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Facebook sendiri.

"Sehingga kini lebih daripada 50 orang telah kita tahan membabitkan warga tempatan dan asing menerusi Op Taring sejak tahun 2014 hingga sekarang," katanya.

Menurutnya, jerat adalah haram kerana ia berada di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

"Terdapat berbagai jenis jerat digunakan pemburu untuk menjerat hidupan liar antaranya ialah perangkap lembing, jerat sembat, perangkap kotak, perangkap jatuh, perangkap lubang dan belantik.

"Tetapi, jerat sembat adalah jerat yang sering digunakan pemburu haram, malah pada tahun 2018 sahaja direkodkan sebanyak 1,180 jerat dimusnahkan termasuk 1,117 jerat sembat.

Katanya, bahaya jerat juga boleh menyebabkan kecacatan pada hidupan liar dan pemasangan jerat dilakukan berikutan hampir kesemua hidupan liar di Malaysia terutamanya Harimau Malaya mempunyai nilai di pasaran gelap.

"Faktor permintaan yang tinggi di dalam dan luar negara antara yang dikenal pasti dan memempengaruhi jumlah pencerobohan warga asing sebagai pemburu haram ke negara kita," katanya.

Anggota Perhilitan cedera diserang

Abdul Kadir berkata, pemburu haram akan sedaya upaya untuk melepaskan diri bagi mengelak daripada ditahan hingga ada kes di mana seorang anggota Perhilitan parah diserang menggunakan parang.

"Selain itu ancaman jerat atau perangkap yang dipasang pemburu haram tersebut turut memberikan risiko besar sekiranya tersalah langkah.

"Anggota di lapangan telah dilatih dan sering diingatkan untuk sentiasa bersedia dan bersiap siaga terhadap apa jua ancaman," katanya.

Menurutnya, yang pasti peralatan seperti parang panjang, lembing, kapak dan pahat dan lain-lain peralatan memburu sentiasa ada semasa tangkapan dibuat.

Kepentingan Harimau Malaya

Abdul Kadir berkata, negara ada jata dan banyak logo penguat kuasa menggunakan Harimau Malaya atau Harimau Belang ini sebagai tanda kebanggaan dan semangat.

"Kita sudah tiada masa, kalau tidak ia (Harimau Malaya) akan habis. Kita ada jata negara, lambang PDRM dan Kastam misalnya menggunakan kepala harimau sebagai logo. Bagaimana kalau tiada harimau, pupus? Apalah maknanya, ini khazanah negara dan kita perlu pertahankan semampunya.

"Selain itu, banyak lagi juga syarikat-syarikat swasta seperti Maybank dan sebagainya turut mengunakan simbol rasmi Harimau Malaya.

"Tidak terkecuali juga pasukan bola sepak negara yang menggunakan ikon Harimau Malaya," katanya.

Menurutnya, Harimau Malaya menduduki tangga teratas di dalam heriaki utama rantaian makanan dalam sistem ekologi.

"Kepupusan spesies ini akan memberikan kesan terhadap keseluruhan sistem ekologi kawasan hutan di Malaysia. Bila catatan menunjukkan jumlahnya kurang daripada 200, itu adalah kritikal.

"Apa yang buat hari ini, kita perkuat lagi operasi dengan kerjasama daripada banyak pihak antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Jalin kerjasama

Abdul Kadir berkata, pihaknya menjalin kerjasama dan pihak ATM dan PDRM dan perkara itu disambut baik.

"Misalnya, Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sebelum ini mengerahkan satu Batallion Pasukan Gerakan Am (PGA) 'Senoi Praaq' dari Bidor untuk membanteras pemburu haram.

"Senoi Praaq ada kelebihan mereka sendiri. Mereka pakar menjejak musuh, Perhilitan pakar menjejak hidupan liar.

"Apabila elemen ini digabung, ia akan menjadi semakin kuat. Dari segi penggunaan senjata api juga mereka terlatih dan cekap," katanya.

Abdul Hamid menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam usaha melumpuhkan kegiatan pemburuan haram spesies Harimau Malaya di hutan negara ini.
Abdul Hamid menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam usaha melumpuhkan kegiatan pemburuan haram spesies Harimau Malaya di hutan negara ini.

Katanya, selain itu, pihaknya juga ada bekerjasama dengan agensi lain seperti polis antarabangsa (Interpol), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Imigresen Malaysia serta lain-lain agensi.

"Penguatkuasaan ini akan diteruskan untuk membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar di Malaysia terutamanya sesies Harimau Malaya daripada terus menjadi mangsa pemburuan dan ancaman kepupusan," katanya.

Menurutnya, pihaknya meminta rakyat Malaysia sedar akan kepentingan Harimau Malaya dalam negara kerana itu adalah khazanah negara.

"Pelbagai kempen digerakkan selain Op Belang termasuk kempen-kempen kesedaran, pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bagi memperuntukan hukuman yang lebih tinggi.

"Selain itu melanjutkan moratorium iaitu larangan memburu rusa dan kijang, meneruskan perlaksanaan Projek Survei Harimau Kebangsaan sehingga tahun 2020 serta meningkatkan perlindungan habitat harimau.

"Jabatan juga telah menjalankan kempen Op Jerat pada tahun 2018," katanya.

INFO

1. ‘Kempen Selamatkan Harimau Malaya’ dilaksana dengan inisiatif yang diterajui Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerajaan negeri.

2. Objektifnya adalah bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam membanteras pencerobohan dan pemburuan haram khususnya Harimau Malaya di kawasan-kawasan Taman Negara dan kawasan perlindungan khususnya oleh warga asing dan sindiket terancang yang menjalankan aktiviti jual beli serta penyeludupan hasil sumber biodiversiti negara.

3. Antara aktiviti utama di dalam kempen selamatkan Harimau Malaya ini ialah ‘Ops Belang’ yang bermula pada Januari tahun lalu.

4. Berkonsepkan “boots on the ground”, sebanyak 20 hotspot habitat Harimau Malaya telah dikenal pasti sebagai lokasi pemburuan haram, pemasangan jerat dan pencerobohan.

5. Ops Belang menggunakan kaedah rondaan di jalan-jalan balak, laluan sungai dan tasik di sekitar kawasan hotspot bagi mengesan dan memusnahkan jerat dan membuat pemeriksaan di kongsi-kongsi balak dan perladangan. Di samping itu, program inventori hidupan liar juga turut dijalankan dengan merekodkan kehadiran hidupan liar di kawasan rondaan.

6. Hasil cerapan yang dijalankan melalui '1st National Tiger Survey' dihampir 90 peratus plot kajian bermula tahun 2016 sehingga 2019 telah menunjukkan bilangan Harimau Malaya yang direkodkan adalah kurang dari 200 ekor. Data ini menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang amat membimbangkan dan jika tiada tindakan drastik yang dijalankan bagi mengatasi masalah penurunan populasi Harimau Malaya ini, jangkaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!