Perintah Kawalan Pergerakan: 25 laluan di bandar Alor Setar ditutup

Rozi ketika melakukan pemantauan sekatan jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini malam tadi.
Rozi ketika melakukan pemantauan sekatan jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini malam tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 25 laluan di bandar raya ini terpaksa ditutup kepada pengguna bermula jam 9 pagi tadi, dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, tempoh tamat penutupan semua laluan itu akan dimaklumkan nanti.

“Sebelum ini, kita hanya menutup 15 laluan utama menuju ke Alor Setar, namun kini kita tambah penutupan kepada 25 jalan termasuk di pinggir bandar.

"Makluman berhubung laluan yang ditutup akan diberitahu kepada orang awam dari masa ke semasa," katanya ketika melakukan pemantauan sekatan jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini, malam tadi.

Tambahnya, seperti sedia maklum, pihak tentera akan membantu polis melaksanakan kawalan pada Ahad ini untuk memastikan pergerakan orang ramai benar-benar dipantau dalam menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

"Sehingga kini, kami dalam proses memberi kesedaran berhubung perintah berkenaan untuk memastikan orang awam duduk di rumah bagi mencegah penularan penyakit tersebut," katanya.

Menurutnya, orang awam yang perlu keluar rumah kerana mempunyai urusan penting dinasihatkan mengambil langkah-langkah perlindungan antaranya dengan memakai topeng muka.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!