Bersatu Melaka persoal pemecatan Ruslin
MELAKA - Beberapa pemimpin sayap parti Bersatu di Melaka melahirkan tidak puas hati dan mempersoalkan pemecatan Penyelaras Bersatu Dun Ayer Limau, Datuk Seri Ruslin Hasan, baru-baru ini.
Antara mereka, Ketua Srikandi Bersatu negeri, Azalina Abdul Rahman yang tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof memecat Ruslin itu.
"Pemecatan ini dilakukan tanpa asas, tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak memberi peluang serta keadilan kepada Ruslin untuk memberi penjelasan dan membela diri beliau.
"Tindakan yang dilakukan ini mirip kepada pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan BN, seperti mana tindakan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir suatu ketika dahulu yang telah melemahkan dan menghancurkan parti itu pada PRU14 lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ruslin yang merupakan bekas Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah menjadi calon PH pada PRU14 di kerusi Dun Ayer Limau dalam Parlimen Masjid Tanah namun beliau tewas kepada calon BN, Datuk Amirudin Yusof dengan majoriti 1,479 undi.
Menurut Azalina, Kerajaan PH di bawah pimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari sebelum ini melantik bekas-bekas calon yang tewas dalam PRU14 untuk menjadi penyelaras di Dun masing-masing.
"Kami berpendapat beliau (Ruslin) telah menjalankan tugasan dengan baik dan penuh dedikasi namun pemecatan tanpa asas dan pertimbangan yang betul dan kukuh mampu melemahkan dan merugikan Bersatu dan PH secara keseluruhannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Armada Bersatu negeri, Ramlan Meon menyifatkan situasi ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat bagi parti Bersatu dan PH di Melaka.
"Kami tidak menyokong, mengecam serta membantah keputusan, pendekatan dan gaya kepimpinan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri ini yang dilihat merugikan parti.
"Oleh yang demikian, kami memohon campur tangan Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad serta barisan pimpinan tertinggi Bersatu Pusat dalam perkara ini demi survival parti Bersatu di Melaka," katanya.
Sementara itu, Mohd Redzuan ketika mengulas mengenai pengguguran jawatan Ruslin sebagai Penyelaras Dun Ayer Limau, berkata langkah itu adalah sebagai usaha penyusunan semula pentadbiran dan pengurusan Dun berkenaan.
Sambil menganggap ia sebagai satu perkara biasa, Mohd Redzuan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah berkata jika berlaku kecacatan dalam pengurusan, sebagai ketua beliau berhak menyusun semula dengan merombak perjawatan yang dilantik sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!