Aktiviti perniagaan di Terengganu sehingga jam 6 petang sahaja

Notis penutupan premis perniagaan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Notis penutupan premis perniagaan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengarahkan semua aktiviti perniagaan di negeri ini dihentikan pada jam 6 petang bermula hari ini sehingga 31 Mac depan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mengekang wabak koronavirus (Covid-19).

Arahan terbaharu itu telah dikeluarkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Exco berkaitan Covid-19.

"Semua stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam, restoran, kedai makan, pusat penjaja dan medan selera tidak dibenarkan beroperasi bermula jam 6 petang hingga 7 pagi termasuk kaunter pandu lalu (drive thru).

"Pasar Borong Gong Pauh di Kuala Terengganu pula dibenarkan beroperasi bermula jam 3 pagi hingga 9 pagi manakala semua kompleks perniagaan, gerai makan tepi jalan, penjaja beredar, pasar malam, pasar pagi dan pasar tani diarahkan tutup sepenuhnya.

"Waktu operasi bagi pusat pembaikan dan penyelenggaraan kereta pula hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 2 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasar raya, pasar awam, farmasi, kedai runcit dan serbaneka serta premis yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara pula perlu menghentikan operasi sebelum jam 6 petang.

Dr Alias turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan selaras dengan Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Artikel Berkaitan:

"Semua peniaga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan dan pihak yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang ingar dengan arahan yang dikeluarkan dan pemantauan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!