Jangan ulangi pembelian panik
KUALA TERENGGANU - Orang ramai diingatkan supaya tidak mengulangi pembelian panik sebaik stok baharu topeng muka berada di pasaran dalam tempoh terdekat.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, bekalan baharu yang tiba itu diharap mendapat kawalan kendiri daripada peniaga dan pengguna.
"Masing-masing perlu ada rasa tanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri dengan tidak membuat pembelian panik terhadap barangan keperluan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, peniaga juga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dalam keadaan permintaan yang tinggi.
"Terdapat topeng muka yang telah dikenakan harga kawalan. Jika melebihi harga kawalan dalam tempoh penularan wabak koronavirus (Covid-19) kita tidak akan berkompromi.
"Tindakan akan dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Saharuddin turut menasihati masyarakat supaya memberi penekanan terhadap aspek kesihatan diri dan social distances (jarak).
"Topeng muka sepatutnya dipakai oleh mereka yang bergejala. Sekiranya tiada ambil langkah penjagaan, selesaikan segera urusan penting di luar dan terus kembali ke rumah.
"Jika tiada keperluan perlu berada di rumah," katanya.
Saharuddin berkata, semalam kerajaan telah memutuskan untuk menaikkan harga siling topeng muka serta melarang eksport topeng muka ke semua negara lain.
Perkara itu diputuskan disebabkan rakyat negara ini berdepan masalah untuk mendapatkan topeng muka ketika ini.
"Perintah larangan eksport baru bermula semalam dan kita jangka dalam sehari dua lagi barangan itu akan berada di farmasi-farmasi seluruh negara," katanya.
Harga runcit bagi topeng muka satu lapis ialah RM0.15 seunit, atau RM7 satu kotak; topeng muka dua lapis adalah RM0.20 seunit, atau RM10 satu kotak dan topeng muka N95 adalah RM6 seunit.
Manakala harga bagi topeng muka tiga lapis kini RM2 seunit atau RM100 sekotak.
Harga bagi topeng muka satu lapis (gelung telinga), topeng muka dua lapis dengan gelung telinga dan topeng muka N95 masih kekal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!