'Jangan degil cabar arahan kerajaan'

Ismail (tengah) bersama Mohd Yusri bertanyakan sesuatu kepada pemandu ketika sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berjalan di Lubuk Kawah, Temerloh malam tadi.
Ismail (tengah) bersama Mohd Yusri bertanyakan sesuatu kepada pemandu ketika sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berjalan di Lubuk Kawah, Temerloh malam tadi.
A
A
A

TEMERLOH - Sikap degil segelintir masyarakat seakan mencabar Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan kerajaan terpaksa meminta penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai sokongan sepanjang perintah itu berjalan hingga 31 Mac ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ini dapat dilihat ada sesetengah individu yang memuat naik gambar swafoto di laman sosial Facebook seolah-oleh memperlekehkan perintah tersebut.

Menurutnya, ada juga mereka yang membuat klip video dan makan beramai-ramai sambil mencabar perintah tersebut.

"Situasi ini menyebabkan kerajaan terpaksa meminta penglibatan pihak tentera untuk membantu pihak polis sepanjang perintah ini berjalan," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas turun padang melihat situasi sekatan jalan raya di Lubuk Kawah di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan khidmat tentera akan mula digerakkan bermula esok untuk membantu pihak polis memastikan rakyat berada di rumah masing-masing bagi membendung penularan kes koronavirus (Covid-19)

Dalam pada itu Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau meminta supaya orang ramai memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada semua pihak berkaitan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Berilah kerjasama kepada pihak berwajib, pihak kesihatan daerah serta pihak polis. Janganlah sampai minta pihak tentera datang ke kawasan kita untuk mematuhi perintah tersebut.

"Seperti yang diumumkan Menteri Kanan sebelum ini, orang ramai akan berdepan tindakan undang-undang jika masih berdegil... saya percaya orang ramai tentu tidak sanggup sampai kena tindakan undang-undang," katanya.

Katanya, selepas tiga hari perintah itu dilaksanakan, beliau melihat penurunan pergerakan orang ramai berbanding dua hari sebelumnya.

Sementara itu, Mohd Yusri juga meminta orang ramai memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!