LZS peruntuk RM15 juta untuk keperluan kebajikan, perubatan
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM15 juta sebagai bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, peruntukan agihan khas itu khusus bagi golongan penjaja, peniaga kecil serta pekerja golongan B40 yang terjejas.
Menurutnya, bantuan itu bagi membolehkan golongan tersebut dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh getir saat ini.
"Peruntukan agihan khas ini turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital-hospital yang beroperasi menangani Covid-19.
"LZS juga akan menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang terputus bekalan melalui peruntukan agihan khas ini." katanya.
Beliau berkata, golongan yang terjejas boleh membuat permohonan bermula 25 Mac ini dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1300 88 4343 (Isnin-Jumaat 10 pagi hingga 3 petang).
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, LZS akan mempercepatkan penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan kepada penerima pada 23 Mac ini yang kebiasaannya disalurkan pada setiap 25 hari bulan.
"Agihan bantuan bulanan lain juga akan berjalan seperti biasa. Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan kelangsungan hidup umat Islam di negeri Selangor.
"LZS akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh Covid-19," katanya.
Katanya, maklumat terkini berkaitan peruntukan khas tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran Facebook rasmi LZS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!