Petugas KKM boleh lapor polis jika individu dirawat sembunyi maklumat
PUTRAJAYA - Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh membuat laporan polis jika mendapati individu yang dirawat menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata antara maklumat penting yang dimaksudkan ialah perjalanan ke negara berisiko tinggi jangkitan Covid-19, mempunyai pertalian dengan anggota perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur atau menyertai perhimpunan berkenaan.
“Menyembunyikan maklumat ialah satu kesalahan kerana ia akan menyebabkan petugas kesihatan berisiko dijangkiti Covid-19.
“Misalnya, seorang pesakit mendedahkan hubungannya dengan seorang pesakit tabligh pada peringkat kemudian sahaja. Wad terpaksa ditutup, petugas hospital perlu menjalani saringan dan dikuarantin selama 14 hari,” katanya pada taklimat harian media mengenai Covid-19 di kementeriannya, di sini, hari ini.
Mengenai pesakit bukan Covid-19 yang perlu menjalani rawatan di hospital sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 31 Mac, Dr Noor Hisham berkata, kad temujanji sudah memadai sebagai bukti kepada pihak polis bahawa mereka perlu ke hospital.
Katanya, KKM kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pencari suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, kerjasama ini turut bertujuan mengesan masyarakat Rohingya yang didakwa menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dari 28 Feb hingga 1 Mac lalu.
Berhubung isu kebajikan golongan gelandangan sepanjang PKP dilaksanakan, Dr Noor Hisham berkata, satu tempat khas telah dikenal pasti untuk golongan tersebut dan ia akan diumumkan kemudian.
Katanya, penempatan golongan gelandangan adalah hasil perbincangan KKM dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perkara ini telah dibincangkan, kita dapati ada lebih kurang 500 gelandangan di Kuala Lumpur. KKM juga akan membuat saringan kesihatan kepada golongan ini,” katanya.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!