Bekerjasama atasi Covid-19

A
A
A

APA juga kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini, sama ada yang menyentuh orang perseorangan, masyarakat, bangsa atau negara, ada pengajaran.

Tidak ada satu pun yang terjadi tanpa sebab dan tanpa kesan kalau kita berfikir, faham dan mengambil iktibar daripadanya. Begitulah dengan Covid-19 yang bermula di Wuhan, China pada 1 Disember tahun lalu dan merebak ke seluruh dunia.

Setakat hari ini, lebih 272,000 orang dilaporkan telah dijangkiti. Daripada jumlah itu lebih 90,000 telah sembuh dan lebih 11,000 meninggal dunia. Sebanyak 180 buah negara dan wilayah telah dijangkiti.

Pelbagai reaksi kita perhatikan dalam kalangan berbagai-bagai lapisan masyarakat. Ada yang panik, ada gusar dan ada juga yang seolah-olah tidak peduli sedikit pun.

Tidak kira dalam kelompok mana kita berada, tindak-tanduk dan tingkah laku kita adalah sama ada memburukkan lagi jangkitan atau membantu menyekatnya.

Oleh sebab virus Covid-19 baru ini amat halus – dalam istilah sains disebut seni – ia boleh merebak dengan pantas melalui pernafasan dan sentuhan bergantung kepada sikap dan keadaan mangsanya.

Oleh sebab itulah dalam kaedah pengawalannya, sifat dan sikap orang ramai memainkan peranan utama. Ciri-ciri seperti kebersihan diri, usia, tahap kesihatan dan pergaulan sangat diutamakan.

Seperkara lagi yang kita kena ingat bahawa setakat ini Covid-19 tidak ada ubat! Ini kerana virus itu baru muncul dalam badan manusia dan merebak daripada seorang ke seorang yang lain. Sebelum ini ia dipercayai hidup dalam badan kelawar dan keluang.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab itu boleh dikatakan semua negara yang dijangkiti termasuk negara kita mengamalkan apa yang kini dikenali social distancing. Dalam bahasa Melayu lebih kurang maksudnya menjauhkan diri atau mengehadkan pergaulan.

Inilah tujuan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac. Memanglah perintah itu menyusahkan dan memberi kesan sampingan yang amat teruk ke atas ekonomi individu, keluarga dan negara tetapi ia perlu dilakukan bagi mengawal pandemik itu daripada terus merebak.

Tahap kawalan yang sedang kita lalui sekarang tidaklah seketat mana jika dibandingkan dengan China dan beberapa negara lain di mana pergerakan tidak dibenarkan langsung sehingga berbulan-bulan lamanya.

Itu pun masih ada lagi orang kita yang mengambil sikap sambil lewa. Mereka seolah-olah berfikir doa saja sudah mencukupi atau menyerah bulat-bulat kepada Tuhan tanpa sebarang usaha.

Pengalaman China menunjukkan apabila pusingan hayat virus itu disekat melalui perintah berkurung, keupayaannya untuk terus merebak mulai tersekat dan akhirnya mati.

Selain baru dan belum ada ubat untuk melawannya, Covid-19 berbahaya kerana ia mengambil masa 14 hari untuk melakukan inkubasi (pengeraman) di dalam badan manusia.

Maksudnya, selepas dua minggu dijangkiti barulah muncul tanda-tanda jangkitan seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan cirit-birit.

Buat masa ini, ubat untuknya sedang diuji ke atas manusia di China dan akan bermula di Amerika Syarikat.

Kesimpulannya, cara terbaik mengelak jangkitan virus Covid-19 pada masa ini adalah dengan mengehadkan pergaulan, menjaga kesihatan dan kebersihan serta mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan dari masa ke masa.

Oleh sebab ramai lagi orang kita yang degil maka mulai hari ini kita akan nampak tentera meronda bagi membantu polis. Jadi tolonglah beri kerjasama dengan mematuhi arahan.

Covid-19 membunuh walaupun tidak seburuk sesetengah wabak lain yang pernah dan sedang kita alami. Namun kerana daya jangkitannya yang pantas dan ketiadaan ubat, ia boleh membunuh secara berleluasa.

Tetapi janganlah sampai panik dan ketakutan membunuh kita pula. Ini bukan lagi wabak penyakit malah dalam beberapa hal sudah menjadi penyakit mental kerana kita ditakut-takutkan oleh ketidakwarasan dan ketidakbertanggungjawaban media sosial.Wallahuaklam.

Seperkara lagi yang kita kena ingat bahawa setakat ini Covid-19 tidak ada ubat!”

Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!