Bukan zaman tunjuk hebat

A
A
A

COVID-19 adalah wabak yang melanda kita sekarang, bukan terhad di Malaysia tetapi hampir seluruh dunia.

Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan proaktif dengan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lalu.

Pelbagai reaksi dibuat oleh rakyat atas arahan kerajaan itu. Ada juga yang mengambil kesempatan bercuti dan pulang ke kampung tanpa apa-apa keperluan.

Ternyata ia mematahkan tujuan mengadakan sekatan pergerakan itu.

Ini disebabkan tujuan utama sekatan pergerakan adalah untuk mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 melalui sentuhan orang perseorangan sama ada dalam kumpulan yang besar ataupun dalam pertemuan sosial dengan orang lain.

Apa yang lebih mengecewakan ialah terdapat beberapa kalangan yang tidak melihat wabak Covid-19 dari sudut kesihatan dan keselamatan.

Mereka masih mahu melihat situasi itu dari sudut politik semata-mata. Hal ini sangat menyedihkan. Rakyat sudah jelak dengan permainan politik sebegini.

Hari ini bukan masanya untuk berpolitik. Jangan melihat wabak itu dari sudut parameter politik semata-mata. Mungkin benar terdapat kekurangan tindakan yang dilakukan pihak kerajaan.

Mengkritiknya tidak salah tetapi berilah solusi yang sepatutnya. Bantulah kerajaan dalam menangani wabak ini. Bukan sekadar mengatakan kerajaan tidak buat itu dan ini sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kita juga nampaknya gagal memberi apresiasi sewajarnya kepada mereka yang bertungkus-lumus membantu pesakit Covid-19. Pekerja kesihatan seperti doktor dan jururawat yang mempertaruhkan nyawa mereka sendiri, bekerja tanpa waktu yang tetap adalah hero sebenar kita.

Begitu juga pekerja keselamatan seperti polis, tentera, pegawai keselamatan dan ramai lagi yang turut mengutamakan rakyat awam berbanding diri sendiri juga sewajarnya diberi penghargaan.

Wabak Covid-19 adalah wabak sedunia. Sama-samalah kita berusaha memelihara keselamatan dan kesihatan dengan mematuhi arahan kerajaan. Ini bukan zaman tak kisah kerana kelak kita yang mungkin dikisahkan sebagai mangsa.

Hari ini juga bukan zaman siapa betul dan siapa salah kerana kitalah yang bersama-sama mengharunginya.

Malah ia bukan zaman menunjukkan ego kononnya kita tidak akan dijangkiti wabak ini, nanti jika kita dijangkiti kita akan diisolasikan duduk berseorangan, di manakah ego kita ketika itu?

Bukan juga zaman menunjukkan kehebatan kerana kalau terkena jangkitan itu, tiada siapa yang akan menziarahi kita.

Malah jika meninggal dunia pun jenazah kita tidak akan diziarahi, majlis pengebumian dihadkan dan sanak-saudara tidak dibenarkan bertahlil beramai-ramai.

Patuhi

Bagi orang Islam janganlah juga mempertikaikan penutupan masjid-masjid. Ia dibuat atas alasan tertentu yang bukan sengaja diadakan. Kita bukan seperti puak Jabariyah yang percaya semata-mata kepada takdir dan menyakini manusia dikendalikan sepenuhnya oleh ALLAH.

Sebahagian puak Jabariyah mempercayai manusia tiada peranan apa-apa, semuanya berserah kepada ALLAH.

Sebagai seorang muslim berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah kita hendaklah berusaha berdoa dan bertawakal. Jadi usaha inilah yang sedang dilakukan bagi mengekang wabak Covid-19 ini.

Marilah bersama mengambil tindakan proaktif dalam membendung wabak ini.

Patuhilah arahan kerajaan dari masa ke masa. Jangan panik. Bersabar dan berdoa agar wabak ini dapat dihindar dari negara kita. Marilah kita berdoa kita dapat menempuh dugaan ini dengan jaya. Ia satu pelajaran buat rakyat Malaysia.

Di samping itu, janganlah menyebarkan berita palsu yang boleh mendatangkan kerisauan awam. Semak dahulu berita yang mahu disebarkan.

Seeloknya rujuklah dengan pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pihak berwajib lain. Hal yang demikian adalah bagi memastikan hanya berita sahih yang disebarkan untuk informasi awam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!