Covid-19: Wujudkan SOP di stesen minyak
SHAH ALAM – Tidak ada bukti yang jelas menunjukkan wabak koronavirus (Covid-19) senang merebak melalui pam di stesen minyak.
Profesor perubatan yang merupakan Pakar Perunding Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor berkata, sifat virus Covid-19 adalah mampu melekat pada sebarang permukaan dalam tempoh yang agak lama.
“Disebabkan stesen minyak menjadi tumpuan ramai, jadi kita tidak tahu sama ada individu yang mengunakannya adalah positif Covid-19 atau kontak rapat kerana ia sangat cepat merebak.
“Tanpa bukti dan data yang sahih, kita tidak boleh tuduh pam minyak sebagai ejen sebaran kerana banyak lagi tempat lain yang boleh bertindak sebagai ejen sebaran,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, antara perkara penting yang boleh dilakukan untuk mengelak penularan Covid-19 adalah dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac lalu sehingga 31 Mac ini.
Pada masa yang sama, beliau turun menyarankan agar kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) di stesen minyak supaya pencegahan Covid-19 dapat dijalankan.
“Pencegahan sangat penting. Sarankan kepada pengendali stesen minyak supaya menyediakan sarung tangan di kaunter pam minyak dan pengguna perlu memakainya sebelum mengisi minyak.
"Cecair pembasmi kuman juga perlu disediakan. Pastikan pengguna menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas menggunakan pam minyak. Ini adalah langkah pencegahan yang betul,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Suhazeli Abdullah berkata, dalam situasi ketika ini, rakyat Malaysia harus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan kerana dengan cara sedemikian pertemuan fizikal dapat disekat.
“Ia sekali gus dapat mengawal penularan virus Covid-19 berdasarkan pengalaman yang diambil oleh negara China.
“Kenapa KKM menyarankan pentingnya untuk membasuh tangan? Ini kerana virus Covid-19 mampu bertahan selama lima hari di permukaan plastik, aluminium (dua hingga lapan jam), kertas (empat hingga lima hari), permukaan besi (48 jam), kayu (empat hari), kaca (empat hari) dan sarung tangan getah (lapan jam),” katanya.
Kelmarin, tular di media sosial apabila seorang doktor perubatan daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mengatakan virus Covid-19 senang merebak di stesen minyak dan menyarankan pengguna mengamalkan langkah pencegahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!