Pembelian panik, pentingkan diri punca topeng muka habis stok

Sayed Mohd Saufi (kiri) menyampaikan cecair pembasmi kuman percuma kepada pelanggan yang berkunjung untuk mendapatkan barangan keperluan di premis perniagaanya.
Sayed Mohd Saufi (kiri) menyampaikan cecair pembasmi kuman percuma kepada pelanggan yang berkunjung untuk mendapatkan barangan keperluan di premis perniagaanya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pembelian panik dan sikap mementingkan diri menjadi antara punca bekalan topeng muka habis di pasaran.

Pengurus Utama Farmasi Intan, Sayed Mohd Saufi Sayed Abdul Kadir berkata, situasi itu berlaku sejak Januari lalu menyebabkan stok barangan itu habis dalam tempoh yang singkat.

"Januari lalu ketika musim cuti sempena Tahun Baru Cina ramai yang balik ke Terengganu. Ketika itu bekalan topeng muka sudah mula habis.

"Kita dapati jumlah pelanggan yang datang ke farmasi meningkat termasuk mereka yang membuat pembelian topeng muka dalam jumlah yang banyak hingga ada yang 'borong' sampai 10 kotak seorang "Setiap tahun kita telah membuat persediaan untuk topeng muka yang diperlukan oleh pelanggan namun tahun ini situasi yang berlaku tidak diduga dan amat buruk," katanya.

Ditanya mengapa tidak mengehadkan pembelian, katanya ketika itu tiada kawalan dibuat memandangkan 100 peratus rakyat negara ini ingin mendapatkan keperluan itu.

"Bayangkan permintaan 500 juta unit dalam sehari di seluruh negara, namun pembuatan hanya mampu dihasilkan dalam 100 juta sehari. Situasi itu menyebabkan ramai ejen-ejen menjual dengan harga yang tidak munasabah.

"Kita di farmasi boleh sediakan keperluan itu malangnya kita berdepan dengan masalah aliran tunai di mana pembekal meletakkan syarat pembayaran penuh untuk tempahan topeng muka dan 'hand sanitizer'. Selain itu, kita juga tertakluk dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Sayed Mohd Saufi berkata, beliau turut kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas situasi itu.

Artikel Berkaitan:

"Ada pihak ambil kesempatan dengan membeli keperluan itu di farmasi dalam jumlah yang banyak serta menjualnya semula.

"Ada yang beli dari farmasi dan jual semula. Kalau ikutkan satu atau dua kotak topeng muka sudah memadai untuk satu keluarga.

"Malangnya ada yang beli dengan banyak sehingga stok habis. Saya pun tidak mampu sediakan topeng muka kepada kakitangan saya. Mujurlah mereka begitu sabar melayan pertanyaan setiap hari mengenai topeng muka walaupun notis telah ditampal pada pintu masuk," katanya.

Ditanya bila stok baharu akan sampai, katanya perkara itu belum dapat dipastikan lagi memandangkan pembekal besar telah menutup tempahan dan mungkin boleh disediakan akhir Mac atau April.

Dalam pada itu, katanya, bagi meredakan panik dalam kalangan pelanggan pihaknya menyediakan 'hand sanitizer' percuma kepada mereka.

Katanya sebanyak 50 botol bahan pembasmi kuman bersaiz 50 ml telah diagihkan kepada pelanggan pada Rabu dan Khamis lalu.

"Agihan yang dibuat selepas kita dapat stok malam Selasa lalu.

"Insya-ALLAH, kita bergantung kepada stok yang sampai, kita sasar untuk agihkan sekitar 100 hingga 200 botol lagi dan 20 liter akan dibuat khidmat isian semula pada harga yang murah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!