Imuniti kelompok bendung Covid-19?

Konsep imuniti kelompok mendakwa apabila lebih ramai orang dijangkiti virus itu, jumlah mereka yang pulih akan meningkat bersama golongan yang imun dengan jangkitan pada masa akan datang. - Foto Agensi
Konsep imuniti kelompok mendakwa apabila lebih ramai orang dijangkiti virus itu, jumlah mereka yang pulih akan meningkat bersama golongan yang imun dengan jangkitan pada masa akan datang. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK -Pandemikkoronavirus (Covid-19) yang semakin menular ke seluruh dunia menyebabkan beberapa negara mula melihat herd immunity atau imuniti kelompok sebagai pilihan untuk menghentikan virus tersebut.

Konsep imuniti kelompok mendakwa apabila lebih ramai orang dijangkiti virus itu, jumlah mereka yang pulih akan meningkat bersama golongan yang imun dengan jangkitan pada masa akan datang.

“Apabila kira-kira 70 peratus populasi yang dijangkiti telah sembuh, potensi penularan wabak penyakit akan berkurangan kerana ramai orang kini menjadi kebal daripada jangkitan. Ini digelar imuniti kelompok,” kata Profesor Martin Hibberd di Bahagian Penyakit Berjangkit London School of Hygiene & Tropical Medicine.

Minggu lalu, Ketua Penasihat Kesihatan United Kingdom (UK), Sir Patrick Vallance memaklumkan salah satu perkara utama yang perlu dilakukan negara itu adalah membina imuniti kelompok supaya lebih ramai individu menjadi kebal terhadap penyakit tersebut sekali gus mengurangkan penyebaran.

Sweden dikatakan telah membuat ujian konsep itu yang hanya dilakukan ke atas kakitangan hospital dan kumpulan berisiko tinggi.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menyifatkan langkah lockdown yang dilaksanakan di negara itu mungkin tidak akan berjaya.

Menurutnya, Belanda sedang melihat langkah ‘penyebaran terkawal’ Covid-19 dalam kalangan kumpulan paling tidak berisiko.

Namun, tidak semua orang gembira dengan pendekatan tersebut malah beberapa saintis di UK dan Australia menyifatkan ia sebagai ‘berbahaya’.

Artikel Berkaitan:

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mentakrifkan imuniti kelompok sebagai situasi di mana bahagian mencukupi dalam populasi adalah kebal kepada penyakit berjangkit menerusi vaksinasi yang menghalang penyebaran antara manusia.

Dalam erti kata lain, apabila imuniti kelompok wujud dalam komuniti dan ramai orang mendapat suntikan vaksin atau telah dijangkiti, lebih sedikit orang akan jatuh sakit dan kurang penyebaran kuman antara manusia.

Menurut CDC, walaupun tidak mendapat suntikan vaksin, bayi baru lahir dan individu menghidap penyakit kronik mempunyai beberapa tahap perlindungan kerana wabak itu tidak boleh tersebar di dalam komuniti.

Teori di sebalik imuniti kelompok adalah apabila seseorang mendapat suntikan vaksin, ia tidak hanya mereka mendapat perlindungan daripada jangkitan malah golongan itu juga tidak boleh menyebarkan penyakit itu kepada orang lain.

Konsep saintifik

Langkah itu dikatakan melindungi individu yang tidak boleh mendapat suntikan vaksin kerana sistem imun mereka tidak cukup kuat dan paling rentan terhadap penyakit serius.

Antara contoh imuniti kelompok melalui suntikan vaksin adalah ketika penularan wabak campak dalam kalangan kanak-kanak prasekolah di AS pada akhir 1980-an yang menunjukkan pemberian kira-kira 80 peratus imunisasi dapat menghentikan penularan penyakit tersebut dalam komuniti bandar.

Bagi serangan Covid-19, situasi imuniti kelompok agak berbeza kerana masih tiada vaksin untuk merawatnya.

Pilihan tunggal yang ada adalah menunggu pesakit sehingga sembuh dan membiarkan majoriti individu dijangkiti pada masa sama.

Sehingga kini, Presiden Donald Trump belum menyebut tentang pendekatan ini walaupun Perdana Menteri UK, Boris Johnson dilaporkan pernah mempertimbangkan imuniti kelompok sebagai strategi selepas hampir 2,000 kes jangkitan Covid-19 direkodkan di negara itu.

“Tanpa vaksin untuk merawat Covid-19 dan menunggu imuniti kelompok berlaku bukan strategi kesihatan awam yang baik,” kata ahli virologi UK, Jerey Rossman.

Setiausaha Kesihatan dan Jagaan Kesihatan UK, Matt Hancock juga berpendapat imuniti kelompok bukan matlamat atau polisi negara itu.

“Ia adalah konsep saintifik,” ujarnya.

Bukti terkini menunjukkan seorang yang dijangkiti secara purata akan menjangkiti antara dua dan tiga individu lain. Ini bermakna, jika tiada langkah diambil, imuniti kelompok akan berlaku apabila 50 hingga 70 peratus populasi menjadi kebal.

“Tetapi, ia tidak perlu berlaku dengan cara ini,” kata Profesor Matthew Baylis di Institut Jangkitan, Veterinar, Sains Ekologi di Universiti Liverpool.

Menurutnya, pandemik itu boleh dikurangkan dengan menjarakkan hubungan sosial seperti penutupan sekolah, bekerja dari rumah, mengelakkan perhimpunan dan kerap membasuh tangan.

“Dari sudut pandangan epidemiologi, helah mudah adalah mengurangkan jumlah kontak untuk menurunkan angka individu dijangkiti bagi membolehkan imuniti kelompok bermula lebih awal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!