Pembelian panik: Penghantaran runcit dalam talian digantung sementara
KUALA LUMPUR - Pembelian panik oleh pengguna Malaysia berikutan fobia terhadap wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari telah menyebabkan perkhidmatan penghantaran barang runcit dalam talian digantung sementara waktu.
Pembelian panik bermula pada Ahad lepas, sehari sebelum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah itu mulai 18 hingga 31 Mac.
Pasa raya tempatan merekodkan lonjakan dalam pesanan, menyebabkan mereka menggantung perkhidmatan penghantaran dalam talian buat sementara waktu sehingga notis selanjutnya.
Rangkaian pasar raya, Jaya Grocer berkata sekarang ini, penambahan semula stok barangan menjadi keutamaan syarikat itu.
"Kami sedang menghadapi peningkatan yang besar dalam pesanan membabitkan perkhidmatan penghantaran dalam talian kami dan kami faham sebahagian daripada pelanggan mungkin mengalami pengalaman membeli-belah dalam talian yang kurang memuaskan," katanya dalam satu kenyataan.
Laman sesawang kedai runcit dalam talian yang berkhidmat untuk penduduk Lembah Klang, MyGroser turut merekodkan trafik yang luar biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama MyGroser, Stephen P Francis berkata keadaan ini menyaksikan permintaan yang mendadak dalam jumlah pesanan, menyebabkan kakitangan kedai runcit itu terpaksa menunda atau hanya menghantar separuh daripada pesanan yang dibuat.
"Peningkatan ini adalah besar, tetapi kami telah berjaya menambah pasukan penghantaran dan kapasiti kami sejak dua hari lepas dan kini dapat membantu lebih ramai pengguna yang memerlukan penghantaran barangan runcit.
"Sekarang ini, kami sedang memasang penyelesaian dalam talian yang dipertingkatkan, yang akan mampu menangani jumlah permintaan serta pesanan masuk yang lebih besar daripada pengguna, kami juga menambah bilangan kenderaan untuk memenuhi ketepatan masa penghantaran yang dijangka oleh pelanggan.
"MyGroser juga bekerjasama dengan pembekal bagi meningkatkan ketersediaan barangan segar dalam usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya kepada Bernama, sambil menambah bahawa syarikat itu telah meningkatkan pengiklanan dalam taliannya sekarang ini.
HappyFresh Malaysia juga mengalami peningkatan pesanan secara mendadak selepas orang ramai mula bekerja dari rumah berikutan pengumuman perintah kawalan pergerakan selama 14 hari.
Pengarah Urusan, Hu Hun Hui berkata dengan penyebaran wabak Covid-19, syarikat berkenaan telah melihat peningkatan yang ketara dalam urusan pembelian barangan runcit dalam talian.
"Pesanan telah meningkat kira-kira 10 hingga 15 peratus, dan kami percaya ianya boleh menjadi lebih tinggi jika tidak kerana pembelian panik, yang mengakibatkan pembekal tidak dapat membuat penambahan stok mengikut jadual.
"Kami cuba sedaya upaya untuk memberikan lebih banyak slot penghantaran, mengupah lebih ramai penghantar dan kami sedang bekerjasama dengan pembekal logistik pihak ketiga bagi membantu penghantaran kami, disamping itu, rakan kongsi peruncit kami juga telah mengemas kini kami mengenai ketersediaan stok," katanya.
Sementara itu, menurut Lazada Malaysia, ia juga mengalami lonjakan dalam pesanan pada Ahad lalu.
"Sekarang ini, kami sedang melihat peningkatan dalam permintaan berikutan pengumuman perintah kawalan pada 17 Mac lepas," kata jurucakap syarikat itu.
Pembeli Lazada bukan sahaja membeli lebih banyak barangan runcit, malahan syarikat itu juga menyaksikan peningkatan permintaan untuk peralatan telesidang dan aksesori komputer selepas rakyat Malaysia mula mencari produk produktiviti bagi membantu mereka mewujudkan persekitaran kerja dari rumah yang lebih kondusif dan produktif.
Lazada menjelaskan ia akan meneruskan operasi seperti biasa, stor dan kakitangan penghantaran telah bekerja keras untuk memastikan operasi perniagaan yang berterusan dan meminimumkan kesan ke atas penghantaran pesanan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Wira Ameer Ali Mydeen berkata pengguna lebih banyak membeli beras, gula, minyak masak, biskut, makanan dalam tin seperti sardin dan makanan beku.
"Pembelian lampin orang dewasa di pasar raya dan dalam talian juga menyaksikan lonjakan, manakala, permintaan untuk topeng muka dan sanitari tangan masih meningkat," katanya sambil menambah Mydin terpaksa mengehadkan jualan barang-barang ini memandangkan permintaannya yang sangat tinggi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!