Tiada peserta festival keagamaan di Teluk Bahang positif Covid-19
GEORGETOWN - Tiada kes positif wabak koronavirus (Covid-19) melibatkan peserta yang menghadiri festival keagamaan Masi Magam di Teluk Bahang di sini pada 8 Mac lalu.
Perkara itu disahkan Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin ketika ditanya mengenai perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30,000 penganut Hindu.
Menurutnya, semua yang hadir pada perhimpunan itu dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan dan ujian saringan Covid-19 namun tiada kes yang dilaporkan setakat ini.
"Kes-kes Covid-19 yang dilaporkan di Pulau Pinang semuanya dari kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling.
"Saya telah merujuk perkara tersebut kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan menurutnya penekanan utama diberikan dalam kes-kes daripada perhimpunan tabligh," katanya di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Malaysia Hindu Sangam (MHS) menasihati penganut yang menghadiri sambutan keagamaan Masi Magam di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Jumaat lalu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Presidennya, Datuk RS Mohan Shan berkata, meskipun setakat ini belum ada penganut yang menghadiri upacara itu disahkan positif wabak tersebut, namun mereka dinasihati untuk berbuat demikian sebagai langkah pencegahan awal.
Difahamkan kira-kira 30,000 penganut India dilaporkan menghadiri perarakan tahunan membawa patung Dewi Sri Singamuga Kaliamman ke laut.
Penganut Hindu yang menyertai upacara itu kemudian akan melepaskan lampu pelita berwarna-warni ke laut sebagai pelengkap acara ritual tahunan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!