Tanah runtuh: Dua individu dikhuatiri tertimbus
SUNGAI PETANI - Dua individu dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan di kaki Gunung Jerai, Gurun jam 6.28 petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat awal insiden terbabit dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, tindakan awal komander operasi telah membuat 'size up' di lokasi dan maklumat awal mendapati terdapat dua mangsa dikhuatiri tertimbus sedalam hampir 40 kaki.
"Mangsa kemungkinan melakukan aktiviti penggalian di kawasan terbabit," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati jarak lokasi kejadian itu kira-kira satu kilometer dari kaki Gunung Jerai dan laluan masuk ke tapak projek lebih kurang 150 meter dari jalan utama menuju ke puncak.
Setakat ini kawasan berkenaan telah diawasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota bomba.
Bagaimanapun, identiti dua individu itu masih belum dikenal pasti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!