Covid-19: Sepanyol catat 394 kematian baharu
MADRID - Sepanyol hari ini mengumumkan 394 kematian baharu akibat koronavirus (Covid-19), naik 30 peratus daripada hari sebelumnya.
Sebanyak 1,720 orang telah meninggal dunia di Sepanyol akibat pandemik itu sekali gus menjadikannya negara kedua di Eropah yang mencatatkan kematian paling tinggi.
Semalam, Perdana Menteri, Pedro Sanchez memberi amaran bahawa Sepanyol sudah termasuk antara negara paling terjejas wabak dan situasi tersebut akan terus memburuk.
"Kita mesti mempersiapkan diri secara emosi dan psikologi untuk hari-hari sukar yang mendatang. Kita masih belum menerima impak gelombang yang paling kuat dan merosakkan yang akan menguji kapasiti material dan semangat kemasyarakatan," katanya.
Sementara itu, kerajaan Sepanyol berhasrat melanjutkan tempoh darurat selama 15 hari yang diumumkan pada 14 Mac lalu kepada tambahan 15 hari lagi dalam usaha untuk membendung penyebaran wabak.
Sepanjang tempoh darurat itu, kira-kira 46 juta penduduknya hanya dibenar meninggalkan rumah untuk kerja-kerja penting seperti membeli makanan atau sebab perubatan.
Cadangan peluasan tempoh darurat baharu itu bagaimanapun perlu diluluskan oleh Parlimen tetapi ia bakal menjadi kenyataan selepas parti pembangkang utama Sepanyol Parti Rakyat memberitahu mereka akan menyokong sekali gus memberikan Parti Sosialis pimpinan Sanchez dan rakan gabungannya, parti Unidas Podemos undi yang cukup dalam Parlimen. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!