'Dakwah ialah jiwa abah'
RANTAU PANJANG - "Dakwah adalah jiwa abah," kata Muhammad Amin Lateh, 35, menantu kepada Hassan Abdul Wahab, 69, salah seorang jemaah tabligh yang meninggal dunia kelmarin akibat positif wabak koronavirus (Covid-19).
Muhammad Amin berkata, setiap tahun arwah mentuanya itu akan meluangkan masa selama empat bulan untuk keluar berdakwah sama ada dalam atau luar negara bagi mengajak orang ramai lebih dekat dengan ALLAH.
"Walaupun berada dalam keadaan tidak sihat, arwah abah tetap bersemangat untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai.
"Itu membuatkan saya cukup kagum dengan semangat dan kesungguhan arwah abah untuk memastikan syiar Islam terus subur dalam masyarakat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, Allahyarham yang juga pengusaha nasi Arab terkemuka di Rantau Panjang itu cukup terkenal dengan sifat peramah dan pemurah.
"Arwah juga cukup suka meraikan tetamu dan tidak hairanlah jika arwah kerap kali 'belanja' ahli jemaah masjid dengan nasib Arab yang dimasaknya sendiri.
"Selain itu, arwah juga ringan tulang dalam membantu orang ramai yang memerlukan pertolongan," katanya.
Muhammad Amin berkata, dia bersama seluruh keluarga reda dengan pemergian bapa tercinta menghadap Ilahi.
Katanya, pemergian arwah bapa itu disifatkan sebagai 'syahid kecil' kerana dia baharu pulang dari kerja dakwah.
Hassan ialah salah seorang daripada kluster tabligh yang dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac lalu susulan demam sejak 12 Mac.
Mangsa dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, pada 18 Mac lalu selepas keadaan kesihatan didapati merosot serta memerlukan bantuan alat pernafasan.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang kelmarin dan jenazahnya selamat dikebumikan pada jam 3.30 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang.
Arwah meninggalkan 15 orang anak berusia antara 40 hingga enam tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!