Belajar menghargai kepelbagaian
DALAM konteks masyarakat majmuk dan rencam, tidak dapat dinafikan wujudnya perasaan kurang senang dan tidak selesa apabila berinteraksi dengan kelompok yang berbeza khususnya berlainan bangsa keturunan, agama anutan dan adat resam budaya.
Perasaan tersebut adalah sebahagian daripada fitrah yang tercetus daripada corak pemikiran otak primitif yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan survival asas manusia.
Pemikiran primitif ini sentiasa berwaspada dan curiga, bimbang kelompok berbeza dan tidak sama itu mengancam keselamatan diri dan nyawa. Cemas dan perasaan takut menyelubungi sehingga kita bertindak menjauhi satu sama lain.
Terhasillah jurang polarisasi, pemisahan dan peminggiran dalam masyarakat yang semakin melebar. Yang subur hanyalah perasaan syak wasangka, benci-membenci dan permusuhan.
Sekiranya tidak dikawal dan diselia dengan baik, kebencian akan memuncak menjadi keganasan dan kekerasan yang boleh melibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Itulah yang digambarkan secara ringkas oleh Piramid Kebencian (Pyramid of Hate) yang diperkenalkan oleh Anti Defamation League (ADL) pada tahun 2003.
Piramid tersebut menjelaskan tentang tingkah laku berat sebelah (bias) yang terhasil daripada kebencian terhadap kepelbagaian, bermula daripada dasar piramid yang dibentuk oleh sikap prejudis kemudian naik ke tahap perlakuan berat sebelah diikuti dengan bentuk diskriminasi yang melibatkan polisi pendidikan, perumahan, ekonomi, politik dan pekerjaan sehingga mencetuskan keganasan terhadap nyawa dan harta benda.
Genosid atau pembunuhan beramai-ramai sesuatu bangsa atau kelompok akibat kebencian perkauman menjadi tahap kemuncak kepada piramid tersebut. Apakah langkah strategik yang perlu diambil untuk mengelakkan pendakian Piramid Kebencian tersebut?
Tiada jalan pintas melainkan memastikan setiap warganegara sanggup belajar menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan cara hidup, gaya komunikasi, adat resam dan agama anutan kelompok lain yang hidup bersama dalam satu komuniti.
Peribahasa Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ kerap digunakan untuk memberi gambaran perihal pentingnya mengenali seseorang atau sesuatu keadaan dengan lebih mendalam terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang kesimpulan dan keputusan.
Sering kali persepsi dan tanggapan awal akan berubah setelah lebih banyak maklumat dan pengetahuan diperoleh mengenai seseorang atau sesuatu situasi.
Terdapat juga bidalan kata pujangga ‘kejahilan adalah musuh utama manusia’ yang menunjukkan betapa kejahilan boleh membawa kesan negatif yang mempengaruhi kehidupan manusia.
Lantaran kita jahil dan tidak arif dengan cara hidup dan pegangan adat resam kelompok lain yang menjadi jiran tetangga dan rakan taulan kita, begitu mudah untuk bibit permusuhan dan anasir jahat menular dalam masyarakat.
Toleransi
Dalam proses mengikis rasa permusuhan dan menggantikannya dengan sikap toleransi yang subur, ahli masyarakat mestilah berani mengambil langkah jujur dan ikhlas untuk mendampingi dan berkenal-kenalan dengan kelompok lain dalam lingkungan persekitaran yang sama.
Kita mesti belajar menerima hakikat bahawa kepelbagaian yang wujud adalah tanda kebesaran dan keagungan ALLAH SWT, sebagaimana yang dirakamkan dalam surah Ar Ruum, ayat 22 (mafhumnya): “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan lisan (bahasa) serta warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berpengetahuan.”
ALLAH SWT menegaskan dalam al-Quran, surah Al Hujurat ayat 13 (mafhumnya): “Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”
Jelas dalam ayat ini, ALLAH SWT menciptakan manusia yang berbagai bangsa, puak dan suku untuk saling belajar mengenali. Manusia sememangnya mesti belajar hidup bersama dan berkongsi sumber kekayaan yang ada.
Keupayaan untuk belajar melalui pengalaman yang menimbulkan rasa emosi positif dan negatif adalah dikendalikan oleh sistem limbik dalam otak mamalia.
Dengan adanya keupayaan ini, haiwan mamalia mempunyai ingatan dan memori yang akan mempengaruhi tingkah laku dan gaya kehidupannya.
Melalui sistem limbik ini juga manusia mampu belajar melalui pengalaman yang manis atau pahit berkaitan dengan kehidupan di sekitarnya.
Di peringkat awal interaksinya dengan kelompok lain yang berbeza dan dianggap mengancam keselamatannya, manusia memanfaatkan keupayaan sistem limbik untuk membuat penilaian semula dengan cara belajar lebih mendalam tentang ciri-ciri profil dan tingkah laku kelompok tersebut.
Selepas dia meyakini bahawa kelompok yang berbeza itu hanya tampak berbeza dari sudut karakteristik fizikalnya, namun sebenarnya mempunyai banyak persamaan berkaitan aspek lain seperti mempunyai cita-cita yang sama, sayangkan ahli keluarga, mempunyai naluri untuk menabur jasa dan prihatin terhadap nasib orang lain, barulah seseorang itu mampu melihat kepelbagaian sebagai tanda kebesaran Tuhan, bukannya satu ancaman dan liabiliti.
Selepas berjaya melangkaui zon ketakutan, barulah keadaan lebih kondusif untuk belajar menghormati dan menghargai kelompok lain yang mempunyai perbezaan yang ketara.
Dengan berbekalkan otak neo-korteks yang dianugerahkan ALLAH SWT kepada manusia sebagai makhluk terbaik ciptaan-Nya (ahsani taqwim), manusia mampu mengusahakan supaya kepelbagaian kaum dari sudut bangsa keturunan, warna kulit, bahasa pertuturan dan agama anutan dimanfaatkan sepenuhnya.
Kepelbagaian tidak harus lagi dilihat sebagai ancaman liabiliti yang perlu dimusuhi dan dipinggirkan.
Sekali pun sukar menguruskan kepelbagaian dan kemajmukan yang ada, manusia mampu menggunakan akal fikiran yang bijaksana untuk menyelesaikan segala konflik dengan hikmah.
Gaya komunikasi yang asertif dapat menghasilkan penyelesaian melalui proses syura yang telus bagi mendapatkan keputusan konsensus yang seimbang serta adil.
Tidak perlu lagi menggunakan gaya komunikasi yang pasif, agresif dan pasif-agresif untuk menyelesaikan masalah.
Terbangunlah satu komuniti yang saling berkasih sayang, hormat-menghormati, bertolak-ansur, muafakat dan yakin akan keupayaan masing-masing untuk memainkan peranan yang efektif bagi menjamin masa hadapan generasi akan datang.
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing – itulah kemakmuran bersama yang hendak kita capai sebaik mungkin menggunakan kaedah pengurusan kepelbagaian yang sejahtera.
* Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!