Tak perlu sebar benda merapu di media sosial
RAKYAT ketika ini mempunyai banyak masa sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Apabila masa banyak terluang di rumah, masing-masing menghabiskan masa itu dengan melayan media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Percaya atau tidak, dalam tempoh lima hari ini kita sudah berjaya melahirkan ramai cybertrooper tidak berbayar.
Setiap hari tugas mereka akan forward mesej-mesej yang mereka dapat di WhatsApp kepada semua nombor yang ada dalam telefon bimbit mereka.
Tak kiralah sama ada mesej itu betul atau tak betul, masing-masing ghairah hendak menyampaikan info terbaru mengenai Covid-19.
Tak cukup dengan WhatsApp, habis semua status kawan-kawan mereka akan komen atau Like. Ada sahaja status terbaru di Facebook atau Instagram. Twitter juga tak berhenti berkicau.
Dalam tempoh lima hari ini juga telefon bimbit Merak Jalanan tak henti-henti berdering. Setiap masa, ada sahaja teks yang masuk.
Mungkin kuota internet tak boleh bertahan sampai hujung bulan ini. Bukan teks sahaja yang Merak Jalanan dapat, semuanya termasuk gambar, lagu dan video.
Bayangkan kalau ada 20 grup dan kesemuanya menghantar benda yang sama?
Merak Jalanan nak nasihatkan kawan-kawan, gunakan masa duduk di rumah ini dengan sebaik mungkin. Kurang-kurangkanlah bermain dengan telefon bimbit atau media sosial.
Tidak salah menjadi cybertrooper tetapi gunakanlah media sosial untuk perkara-perkara berfaedah contohnya menyampaikan maklumat positif berkaitan Covid-19.
Kita boleh saja membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat mengenai kepentingan Perintah Kawalan Pergerakan, malah mempengaruhi minda masyarakat untuk mengamalkan prosedur yang wajar diamalkan, asalkan tidak menyebarkan benda-benda yang merapu yang menyebabkan orang lain panik!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!