Virus bukan benda hidup

A
A
A

SEJAK WHO mengklasifikasikan koronovirus (Covid-19) sebagai pandemik, semakin banyak maklumat yang kadangkala pelik berlegar dalam media sosial antaranya yang mengatakan bahawa air rebusan lima helai daun sirih boleh bertindak sebagai hand sanitizer.

Ada juga yang bahkan mengatakan air rebusan ketum mampu menyembuhkan pesakit yang dijangkiti Covid-19. Ia benar-benar membuatkan kita tepuk dahi.

Kita perlu faham apa itu virus. Ramai yang beranggapan bahawa virus dan bakteria adalah sama kerana kedua-duanya menyebabkan kita sakit.

Bakteria boleh dibunuh menggunakan antibiotik namun tiada ubat untuk membunuh virus.Vaksin pula adalah ikhtiar untuk mencegah, bukannya mengubati pesakit yang dijangkiti virus.

Benarkah virus bukan benda hidup? Jika ia tidak hidup, bagaimana hendak mematikannya? Untuk dikategorikan sebagai benda hidup, ada kriterianya.

Bagi mereka yang belajar biologi, sel adalah unit asas hidup. Setiap benda hidup terdiri daripada satu atau lebih sel, atau hasil rembesan sel-sel tersebut seperti cengkerang atau tulang.

Beberapa organisma, seperti kebanyakan bakteria adalah unisel (terdiri daripada satu sel) manakala manusia yang berbilang sel (multisel) dianggarkan mempunyai 100 trilion sel.

Benda hidup berhomeostasis, iaitu mengekalkan keadaan dalamannya untuk menjadi stabil (keseimbangan dinamik). Setiap organisma hidup, baik unisel atau multisel, mampu berhomeostasis.

Artikel Berkaitan:

Contohnya, pada tahap sel, homeostasis berperanan mengekalkan pH manakala pada tahap organisma pula, homeostasis berperanan mengekalkan suhu dalaman (bagi organisma berdarah panas).

Virus bukannya sel tetapi merupakan set of genes. Istilah virus berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud racun atau bisa.

Virus tidak memerlukan makanan, tidak membiak dengan sendiri, tidak bernafas, berkumuh, tumbuh, atau bertindak balas kepada rangsangan maka ia tidak mempunyai ciri-ciri benda hidup.

Bagaimanapun, virus juga bukan benda yang mati. Virus memerlukan hos (perumah) untuk berkembang iaitu menghasilkan lebih banyak zarah virus.

Oleh kerana virus tidak mempunyai kemampuan untuk membiak sendiri seperti kebanyakan parasit lain, mereka memerlukan perumah yang tertentu.

Sesetengah virus hanya boleh membiak dalam spesis tertentu tetapi sesetengah yang lain boleh membiak dalam pelbagai spesies dalam proses replikasi. Virus Covid-19 merupakan virus baharu kerana sudah bermutasi.

Virus lebih kecil saiznya berbanding bakteria; diameter ukurannya dianggarkan antara 20 hingga 300 nanometer. Kebanyakan virus tidak dapat dilihat melalui mikroskop optik yang biasa; ia hanya dapat dilihat menggunakan mikroskop elektron.

Contoh penyakit yang paling biasa ialah selesema yang disebabkan oleh pelbagai jenis virus; yang biasa kita dengar ialah influenza atau flu. Disebabkan virus menggunakan sel perumah, virus sukar dibunuh atau dihapuskan.

Cara yang terbaik ialah pencegahan melalui penvaksinan kerana penggunaan ubat hanyalah untuk merawat simptom penyakit.

Contohnya, ubat paracetamol untuk mengurangkan suhu badan akibat demam selesema bukannya membunuh virus influenza.

Sama-sama kita berusaha mencegah diri daripada dijangkiti virus Covid-19, iaitu dengan mencuci tangan menggunakan air dan sabun dengan lebih kerap (atau menggunakan pembersih tangan beralkohol sintetik seperti ethanol), menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.

Jauhi atau hindari sesiapapun yang menunjukkan gejala demam atau flu dan jika anda mengalami demam, batuk, atau kesukaran untuk bernafas, dapatkanlah bantuan perubatan segera dan jangan ke tempat awam.

Benarkah virus bukan benda hidup? Jika ia tidak hidup, bagaimana hendak mematikannya?”

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!