Penduduk proses sendiri stok simpanan makanan
KANGAR - Penduduk kampung di negeri ini mengambil inisiatif membuat stok makanan sendiri sebagai persediaan bekalan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Rabu lalu.
Penduduk tidak membuat pembelian panik sebaliknya mematuhi perintah untuk berada dalam rumah dengan memproses stok makanan sendiri supaya tahan lebih lama.
Surirumah, Rohaizah Abdullah, 47, berkata, dia mengambil keputusan untuk menghasilkan ikan kering untuk dijadikan stok simpanan.
Rohaizah berkata, dia mendapat idea menghasilkan ikan kering selepas suaminya membawa pulang ikan dalam kuantiti banyak.
"Dengan keadaan cuaca panas terik, saya mengambil peluang menghasilkan ikan kering supaya dapat disimpan lama sebagai stok makanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Keria, Simpang Empat hari ini.
Katanya, dia juga berpeluang menjana pendapatan sampingan hasil menjual ikan kering selain untuk kegunaan sendiri.
Sementara itu, suri rumah, Siti Asa Bakar, 66, dari Kampung Jawi Seratus di Arau berkata, dia bersyukur apabila hobinya bercucuk tanam sayur-sayuran memberi manfaat kepadanya sekeluarga.
Katanya, dia sememangnya gemar menanam pelbagai sayur-sayuran seperti bayam, cili dan timun di kawasan rumahnya.
"Ada juga beberapa penduduk yang datang membeli sayur dengan saya kerana jauh untuk keluar ke pekan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!