Ops Covid-19: Halang tugas polis, mekanik didenda RM5,000
SUNGAI SIPUT - Padah mengasari Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput yang menjalankan tugas pemantauan Ops Covid-19, seorang mekanik didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
Tertuduh, S Punniamurthy, 33, disabitkan kesalahan itu selepas mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Punniamurthy didakwa dengan sengaja menghalang Deputi Superintendan Juna Yusoff dalam menjalankan tugas dengan enggan menunjukkan pengenalan diri semasa diminta.
Dia melakukan kesalahan itu di Persiaran Orkid 8, Taman Orkid di sini kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pegawai berkenaan yang menjalankan tugas pemantauan Ops Covid-19 di kawasan itu terdapat tertuduh sedang minum dan mabuk di tepi jalan di hadapan sebuah rumah.
Juna yang telah memperkenalkan diri meminta kad pengenalan, tetapi tertuduh enggan dan menolak pegawai kanan tersebut hingga masuk ke dalam kawasan pagar rumah tersebut.
Kejadian itu disaksikan oleh pegawai dan anggota lain dan tertuduh berjaya ditangkap serta dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh di wakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanis Mohd Zaini.
Terdahulu, Chung Hwei menegaskan masyarakat perlu beri kerjasama ketika berhadapan masa kritikal (Perintah Kawalan Pergerakan dalam menangani Covid-19).
Beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan peringatan supaya tidak melanggar peraturan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!