Guna teknologi, hadkan pergerakan petugas media: Wan Azizah

Dr Wan Azizah. - Foto Sumber Internet
Dr Wan Azizah. - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Pergerakan petugas media wajar dihadkan terutama dalam situasi bekalan topeng muka dan sarung tangan yang tidak mencukupi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata, pengamal media tidak seharusnya terdedah dengan risiko jangkitan apabila perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk mendapatkan bahan berita.

Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkata, ini bermakna pihak kerajaan perlu memikirkan cara lain untuk memastikan wartawan kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan.

"Satu cadangan ialah bagi wartawan dapat bertugas dari rumah. Menteri boleh membuat rakaman sidang media mereka dan memajukan rakaman tersebut kepada organisasi berita bagi wartawan mereka menyediakan berita tersebut.

"Pelbagai aplikasi boleh digunakan bagi membolehkan wartawan bertanya soalan dalam 'sidang akhbar atas talian' yang dicadangkan ini.

"Video ini bolehlah juga dipaparkan di akaun media sosial kementerian atau menteri berkenaan. Kenyataan akhbar juga boleh dihantar kepada organisasi berita," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Wan Azizah berkata, langkah tersebut membolehkan wartawan bertugas tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain seterusnya mengurangkan risiko mereka terdedah kepada koronavirus (Covid-19).

"Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Sekarang kita berada dalam waktu krisis, oleh itu kita perlu mengambil berat antara satu sama lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!