4 terminal feri dihentikan operasi sementara waktu di Johor

Terminal Feri di Johor. - Foto Sumber Internet
Terminal Feri di Johor. - Foto Sumber Internet
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat terminal feri di Johor dihentikan operasi buat sementara waktu selama 10 hari bermula Sabtu lepas berikutan penutupan akses masuk selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Rabu lalu.

Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan dalam kenyataan berkata, terminal terbabit adalah Terminal Feri Penumpang Muar, Terminal Feri Minyak Beku Batu Pahat, Terminal Feri Tanjung Pengelih dan Terminal Feri Tanjung Belungkor.

"Warga Indonesia yang ingin pulang ke Dumai dan Bengkalis boleh mengambil langkah alternatif dengan menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup atau pun Terminal Feri Puteri Harbour.

"Sebarang pertanyaan mengenai waktu operasi feri, bolehlah hubungi Terminal Feri Antarabangsa Kukup di talian (07-696 9098 dan 07-696 0760) atau Terminal Feri Puteri Harbour (07-560 0542 and 07-5600 567)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dua lagi terminal feri antarabangsa iaitu Terminal Feri Stulang dan Terminal Feri Pasir Gudang untuk laluan ke Batam dan Tanjung Pinang masih beroperasi seperti biasa.

Terdapat sembilan terminal feri di Johor yang mana lapan daripadanya adalah terminal feri antarabangsa sementara satu lagi terminal feri domestik. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!