Lebuh raya PLUS beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan
KUALA LUMPUR - Semua lebuh raya di bawah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tetap beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini memandangkan ia adalah laluan kritikal dalam negara.
Perkhidmatan kritikal lebuh raya seperti PLUSRonda dan talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 juga beroperasi 24 jam sepanjang tempoh itu, menurut PLUS dalam kenyataan hari ini.
PLUS menyatakan sebarang saringan, sekatan jalan dan lencongan di laluan menghala ke lebuh raya adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, PLUS menggesa orang ramai supaya menghubungi Bilik Gerakan PDRM di talian 03-2266 3356 untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai saringan, sekatan jalan atau lencongan jalan dalam tempoh tersebut.
PLUS turut mengingatkan semua pelanggan supaya sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan dan terus berada di rumah bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) demi keselamatan diri dan keluarga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!