Covid-19: Terengganu tangguh bayaran sewa, pinjaman dua bulan

AHMAD SAMSURI
AHMAD SAMSURI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memutuskan penangguhan ke atas bayaran sewa dan pinjaman selama dua bulan bagi urusan di bawah seliaan kerajaan negeri ekoran penularan koronavirus (Covid-19).

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia adalah usaha dan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat menerusi Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Covid-19 Fasa 2.

"Kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum terhadap impak ekonomi dihadapi rakyat sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu ini.

"Kita memutuskan untuk membuat pengecualian sewaan dan bayaran di bawah seliaan kerajaan negeri bagi bulan April dan Mei 2020 untuk meringankan beban mereka yang terlibat," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara program perumahan yang terlibat dalam penangguhan sewaan ialah Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Kos Rendah (RKR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) bagi tempoh dua bulan (April dan Mei 2020).

Selain itu, katanya bayaran sewa premis perniagaan milik kerajaan negeri Terengganu juga dikecualikan bagi bulan April 2020.

"Kerajaan juga memutuskan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Terengganu (YT) dan bayaran sewa bulanan Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020.

"Ia juga termasuk penangguhan bayaran sewa bulanan bagi premis perniagaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, pengumuman itu diharap dapat membantu meringankan bebanan rakyat disebabkan impak penularan Covid-19 di negara ini.

"Diharapkan pengumuman ini dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat yang tidak dapat menjalankan rutin harian pekerjaan seperti biasa sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!