PKP: Tahap pematuhan penduduk Johor hanya 92 peratus
JOHOR BAHRU - Polis Johor masih belum berpuas hati dengan kadar pematuhan penduduk di negeri itu bagi membendung penularan wabak Koronavirus (Covid-19 ) iaitu sebanyak 92 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 6,216 kenderaan dan 7,759 individu diperiksa dari 18 Mac hingga semalam melalui sekatan jalan raya dan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV).
"Lapan peratus yang tidak patuh termasuk pasangan kekasih yang mengemukakan pelbagai alasan tidak munasabah semata-mata untuk keluar bersama," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Tampoi Lama, di sini hari ini.
Turut hadir, Panglima Briged 7, Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Zawawi Adam.
Ayob Khan berkata, selain itu pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 401 premis perniagaan di negeri ini.
Mengenai aduan terdapat beberapa kilang yang masih ingkar dengan arahan dengan memaksa pekerja datang bekerja, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyiasat dakwaan itu sebelum mengambil tindakan.
Beliau turut memberitahu tiada anggota polis di negeri itu positif Covid-19 namun keluarga mereka dikuarantin di rumah masing-masing sebagai langkah pencegahan.
Katanya, kira-kira 2,016 anggota polis dan 872 ATM menjalankan tugas sekatan jalan raya serta rondaan MPV polis dan pihaknya akan menambah keanggotaan jika keadaan memerlukan.
Sementara itu, Zawawi berkata, menerusi kerjasama tersebut setiap sekatan jalan raya akan disertai masing-masing tiga anggota polis dan tentera manakala rondaan MPV membabitkan dua anggota polis dan tentera akan terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!