Kemas beri bantuan fasiliti kepada anggota keselamatan

A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sedia membantu menyediakan kemudahan kepada semua anggota keselamatan, khususnya polis dan Angkatan tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Kemas dalam satu kenyataan, pihaknya mengambil inisiatif supaya premis Kemas dijadikan sebagai pusat operasi dan penginapan kepada anggota tentera yang bertugas.

Antara premis terbabit ialah Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas Kuala Selangor dan Kompleks Komuniti Desa (KKD) Lenggong, Perak sebagai tempat penginapan 25 dan 20 anggota tentera yang bertugas.

"PKM Kemas di Tangkak, Johor, selain dijadikan tempat penginapan 20 anggota ATM yang bertugas, Kemas juga memberi kebenaran blok asrama perempuan dijadikan pusat kuarantin pesakit Covid-19.

"Proses membasmi kuman (disinfeksi) akan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu turut menyebut Kemas juga komited dan sentiasa bersedia memberi bantuan kepada kerajaan bagi melancarkan urusan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Penyediaan kemudahan tambahan seperti dewan, surau, meja, kerusi dan kipas bagi memastikan keselesaan dan keperluan anggota keselamatan ini di tahap tertinggi turut disediakan oleh pihak Kemas," menurutnya.

Penglibatan ATM dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac bertujuan melancarkan arahan kerajaan supaya rakyat mematuhi larangan sepanjang tempoh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!