Polis nafi tentera bertindak agresif kepada orang awam di Melaka

Tular gambar tentera bertindak agresif sedangkan pihak tentera berjaya menahan suspek melakukan kes jenayah curi tabung masjid dan pecah tokong di dalam daerah Jasin.
Tular gambar tentera bertindak agresif sedangkan pihak tentera berjaya menahan suspek melakukan kes jenayah curi tabung masjid dan pecah tokong di dalam daerah Jasin.
A
A
A

JASIN - Polis menafikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bertindak agresif ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Gapam, Bemban, di sini, hari ini seperti yang dipaparkan dalam gambar yang tular.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata, sebaliknya gambar itu adalah ketika anggota tentera menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang dipercayai cuba meloloskan diri selepas melakukan jenayah melibatkan masjid dan tokong di sekitar daerah itu.

Menurutnya, dalam kejadian lebih kurang jam 1.45 petang itu, beberapa anggota polis dan tentera sedang mengadakan SJR berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dipercayai cuba melarikan diri.

"Individu itu cuba melarikan diri dengan bertindak meninggalkan motosikalnya namun disedari anggota keselamatan yang kemudian cuba menahannya, namun berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan.

"Siasatan awal yang dilakukan mendapati suspek telah mencuri tabung masjid dan pecah tokong selain pemeriksaan terhadap beg sandang dibawanya juga menemui peralatan untuk menghisap dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mispani, berkata, penganggur itu turut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan kes curi.

"Permohonan reman suspek akan dibuat di Mahkamah Jasin esok dan kes disiasat mengikut seksyen 380 kanun keseksaan," katanya.

Tambahnya, sehubungan itu beliau berharap masyarakat tidak mudah menularkan sesuatu gambar atau mempercayai berita yang tiada kepastian terutama membabitkan pasukan barisan hadapan sepanjang tempoh PKP ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!