Pelajar merokok: Guru tiada kuasa di luar sekolah
Pada masa kini belum ada pekeliling yang memberikan kuasa kepada guru mengawal kelakuan pelajar termasuk merokok selepas tamat waktu sekolah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata, jika ada pekeliling itu sekalipun pastinya ia sukar dilaksanakan kerana tugas mengawal tingkah laku pelajar selepas tamat masa persekolahan adalah di luar kemampuan guru.
"Jika guru-guru diberi tanggungjawab supaya mengawal tingkah laku pelajar hingga ke luar kawasan sekolah, bermakna beban guru akan bertambah. Keadaan itu pastinya di luar kemampuan guru.
"Jadi, tindakan untuk memantau tingkah laku pelajar selepas tamat persekolahan adalah tugas Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG). Seseorang guru cuma boleh membantu misalnya mengambil gambar pelajar yang terlibat kesalahan seperti itu (merokok)," katanya kepada Wartawan Sinar Siasat.
Sebelum ini ada pihak mencadangkan supaya guru diberi kuasa mengawal kelakuan pelajar selepas tamat waktu sekolah termasuk menahan mereka yang menghisap rokok di luar sekolah.
Bagaimanapun setakat ini, seseorang guru tidak mempunyai kuasa untuk menangkap pelajar yang melakukan kesalahan di luar pagar sekolah seperti yang termaktub dalam Peraturan Disiplin Sekolah 1959.
Menurut Kamarozaman lagi, sekiranya seseorang guru memiliki bukti misalnya gambar pelajar sekolah yang terlibat salah laku, permasalahan itu boleh dibincangkan dalam aspek disiplin serta prestasi seseorang pelajar bersama ibu bapa mereka.
"Bagaimanapun untuk mengawal tingkah laku pelajar merokok di luar kawasan sekolah ini amat memerlukan peranan PIBG dan ahli keluarga pelajar itu sendiri.
"Jika nak harapkan guru sekolah sahaja, pastinya tugasan itu di luar kemampuan guru sekolah," katanya.
Tambahnya, PIBG juga boleh memainkan peranan menasihati pelajar sekolah supaya tidak terjebak budaya merokok atau menjalin kerjasama dengan pihak berwajib untuk membanteras gejala berkenaan memandangkan pelajar sekolah adalah di bawah umur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!