Sedia pelan cara bantu rakyat jika tempoh PKP terpaksa dilanjut

Sayuti
Sayuti
A
A
A

KOTA BHARU - Barisan Menteri Kabinet perlu bersedia dengan inisiatif bantuan dan pelan masing-masing jika selepas ini negara terpaksa berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih panjang susulan koronavirus (Covid-19).

Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata, barisan menteri yang ada kini sudah boleh mengeluarkan kertas cadangan masing-masing sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan.

“Jika kerajaan lihat dengan cara kawalan pergerakan ini akan bantu turunkan jumlah jangkitan dan sebagainya, maka cadangan ini perlu diteruskan. Mungkin untuk sebulan atau sebagainya. Namun, jika melanjutkan tempoh tersebut, kerajaan perlu bersedia untuk membantu mereka yang tidak boleh keluar bekerja.

“Bagaimana dengan makan minum mereka, kereta kena bayar, sewa rumah kena bayar, sewa kedai dan sebagainya. Perlu ada satu fail khusus untuk perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan teliti keperluan lanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan

Pencarum KWSP dibenar keluarkan wang simpanan Akaun 2

Dalam keadaan sekarang, Mohd Sayuti berkata, kerajaan perlu memikirkan kaedah tertentu untuk membantu rakyat, walaupun kita tidak dibenarkan keluar dari rumah.

“Kalau mereka betul-betul prihatin, boleh korbankan separuh gaji masing-masing untuk bantu rakyat di kawasan mereka. Tidak perlu jumpa depan-depan, banyak cara untuk mereka sampaikan bantuan itu.

Artikel Berkaitan:

"Beras ada ke di rumah mereka? Ada lauk ke? Ini yang perlu mereka lihat. Gabungan menteri melalui portfolio masing-masing dan turun pula ke agensi dan ketua-ketua kampung, saya yakin, golongan asnaf tetap boleh makan walaupun hanya berlaukkan ikan kering dan kicap," katanya.

Tambahnya, walaupun bekalan makanan mencukupi, penting untuk kerajaan tahu sejauh mana kemampuan rakyat untuk membeli dalam keadaan ketika ini.

“Kalau masing-masing mengambil langkah buntu dan sendu, siapa yang mahu bela nasib mereka yang kurang berkemampuan ini. Jiran pun bukan orang kaya, ini yang kerajaan perlu lihat.

"Tempoh kawalan pergerakan tidak menjadi masalah, namun bagaimana kerajaan bersedia membantu rakyat untuk berdepan situasi ini. Memang bekalan makanan mencukupi, tapi mereka tiada duit untuk beli. Maka kena fikir kaedahnya yang sesuai. Bukan kerajaan sahaja, semua pihak, individu, agensi dan NGO, bantu mereka ini. Ajar mereka untuk duduk di rumah, cuba bantu kurangkan perbelanjaan mereka, selain mendidik untuk berjimat cermat,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, kerajaan akan meneliti keperluan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berakhir 31 Mac ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) katanya akan membuat keputusan selepas bersidang pada 30 Mac.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!