Hampir 95 peratus rakyat Melaka patuh Perintah Kawalan Pergerakan
MELAKA TENGAH - Rakyat negeri ini mencatatkan peningkatan kadar pematuhan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hampir 95 peratus hari ini berbanding semalam.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli berkata, peratusan tersebut disifatkan sebagai perkembangan positif sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Menurutnya, dalam tempoh itu, kira-kira 600 anggota daripada semua pihak keselamatan bertugas dalam satu masa bagi memastikan orang ramai hanya keluar rumah bila perlu dengan tujuan untuk keperluan mendesak bertujuan memutuskan rangkaian jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
"Kita mengambil keputusan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi lain bagi meningkatkan kekuatan pelaksanaan operasi Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar negeri ini.
"Sebelum ini, kita hanya ada tiga sekatan jalan raya (SJR) untuk setiap daerah dan malam tadi, kita telah memutuskan untuk meningkatkan empat SJR bagi setiap daerah dan menjadikan jumlahnya 12 lokasi dalam satu masa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melaksanakan Operasi Show Of Force bersama ATM bagi penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan di Pasaraya Tesco, Peringgit, di sini hari ini.
Anggota keselamatan turut menjalankan operasi yang sama di Pasar Awam Bachang.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata pengunjung menggunakan topeng muka ketika masuk ke pasar raya berkenaan.
Pihak pengurusan pasar raya juga mengambil inisiatif melakukan saringan kesihatan dengan memeriksa suhu badan, selain turut menyediakan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pelanggannya.
Satu notis juga turut dipamerkan pihak pasar raya dengan mengehadkan seorang pelanggan sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa bagi mengekang penularan pandemik tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!