Syarikat insurans diseru tawar ujian saringan Covid-19 percuma
SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyeru syarikat insurans di negara ini tampil ke depan dengan menawarkan ujian saringan koronavirus (Covid-19) secara percuma kepada pemegang polisi insurans mereka bagi membendung penularan wabak itu.
Ketua Biro Perpaduan Nasionalnya, H Puvaniten berkata, usaha itu harus dilakukan dengan segera bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) yang meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah saringan harian daripada 3,500 sehari ke lebih 10,000 sehari.
Menurutnya, pemberian saringan percuma itu membuka ruang kepada syarikat insurans untuk turut sama memikul tanggungjawab sosial bagi membendung penularan wabak Covid-19.
"Dalam situasi sekarang, syarikat insurans boleh turut membantu dengan menyediakan saringan insurans percuma kepada pemegang polisi insurans masing-masing untuk sama-sama membanteras penularan wabak Covid-19.
"Janganlah sekadar melihat komitmen kerajaan dan rakyat sahaja dalam membendung penularan Covid-19 kerana syarikat swasta juga boleh menjadi teladan yang terbaik sekiranya sanggup memikul tanggungjawab besar ini dan tidak hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, dari segi pelaksanaan ujian saringan itu, Puvaniten berkata, terserah kepada budi bicara syarikat insurans tentang bagaimana proses saringan percuma itu dilakukan.
Katanya, inisiatif yang dilakukan syarikat insurans nanti boleh membantu meningkatkan kapasiti untuk menghalang virus Covid-19 daripada merebak dalam kalangan rakyat Malaysia di samping usaha kerajaan yang melakukan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Usaha mengekang penularan wabak Covid-19 sedang giat dilakukan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Jadi sekarang sudah tibalah masa bagi syarikat swasta seperti syarikat insurans untuk turut sama mainkan peranan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!