Covid-19: LZNK agih tambahan bekalan makanan kepada 576 masjid

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman (dua dari kanan) menyerahkan alat bantuan pernafasan kepada Hospital Sultanah Bahiyah bagi tujuan menghadapi Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman (dua dari kanan) menyerahkan alat bantuan pernafasan kepada Hospital Sultanah Bahiyah bagi tujuan menghadapi Covid-19.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mula mengagihkan tambahan bekalan makanan sebanyak 57,600 kampit beras dan 172,800 tin sardin kepada semua 576 buah masjid di seluruh Kedah hari ini dalam usaha membantu memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

LZNK dalam satu kenyataan berkata, pelbagai inisiatif juga telah dilakukan oleh pihaknya dalam membantu pihak hospital dan para asnaf yang terkesan dengan penularan wabak tersebut.

"Agihan ini adalah tambahan kepada 17,280 set agihan bulanan terhadap bekalan makanan sedia ada. Dijangkakan agihan bekalan makanan ini bakal memberi manfaat kepada 74,880 buah keluarga yang terjejas dan terputus bekalan makanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri Kedah.

"Pihak LZNK juga akan memantau dan menambah bekalan makanan dari masa ke semasa untuk memastikan rakyat negeri Kedah tidak keputusan bekalan makanan. Agihan akan dilaksanakan di semua masjid dengan mematuhi aspek keselamatan yang telah ditetapkan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan oleh pihak berkuasa dan kerajaan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman (tiga dari kiri) turut sama membantu mengagihkan beras yang akan diedarkan ke seluruh negeri Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman (tiga dari kiri) turut sama membantu mengagihkan beras yang akan diedarkan ke seluruh negeri Kedah.

Dalam pada itu, LZNK juga telah menghantar bantuan peralatan kecemasan bagi rawatan Covid-19 negeri Kedah yang berpusat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Sebanyak RM360,000 diperuntukkan membeli tiga unit alat bantuan pernafasan (ventilator) bagi tujuan penempatan mangsa Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga wad biasa.

"Pihak LZNK juga dari semasa ke semasa akan membantu menyediakan peralatan lain bagi tujuan menghadapi Covid-19, antaranya membekalkan keperluan yang mendesak seperti pakaian keselamatan petugas kesihatan (Personal Protective Equipment) berdasarkan peruntukan sedia ada bagi tujuan menjaga keselamatan petugas kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan LZNK menyediakan peruntukan untuk agihan khas lebih RM7 juta bagi tujuan agihan segera dan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan Covid-19.

Hal ini bagi memastikan golongan asnaf dan golongan berpendapatan kecil di negeri Kedah yang terjejas sumber pendapatan dan tidak mempunyai wang simpanan kecemasan seperti golongan peniaga, nelayan dan sebagainya dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!