Kurangkan aktiviti pelancongan ke Thailand
SHAH ALAM - Rakyat di negara ini, khususnya di Perlis, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti pelancongan ke Thailand, khususnya Hatyai, berikutan penularan wabak chikungunya di wilayah itu, baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis, Teh Chai Ann berkata, pihaknya kini memantau ketat pelancong dari negara jiran itu yang memasuki negara ini.
Menurutnya, pemantauan itu ditumpukan di setiap pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian, selain di Jeti Kuala Perlis bagi pengunjung yang menaiki feri dari Satun, Thailand.
Katanya, pihak berkuasa, termasuk Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemeriksaan di pintu masuk dan mengenal pasti individu yang berisiko membawa virus itu agar penularan wabak penyakit itu dapat dikawal di negeri ini.
“Kita khuatir jika sempadan tidak dikawal dengan baik, penyakit itu boleh merebak dengan pantas ke negara ini.
“Jadi, saya meminta supaya orang ramai dapat memberikan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan negeri seandainya mereka perlu menjalani pemeriksaan ketika berada di pintu sempadan,” katanya, hari ini.
Chai Ann berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam memastikan langkah kawalan dan keselamatan bergerak seiring.
“Ini kerana, pintu masuk di Padang Besar menjadi pilihan utama pelancong dari Hatyai kerana jaraknya lebih dekat berbanding pintu masuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Selain itu, kita juga sarankan pelancong dari Perlis menjalani rawatan pemeriksaan sekiranya mereka menghidap demam panas, ruam di badan dan berasa sengal sendi sejurus pulang dari Thailand,” katanya.
Semalam, media tempatan Thailand, Bangkok Post, melaporkan virus chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika dikesan berlaku di Hatyai.
Menurut laporan media berkenaan, berpuluh-puluh pesakit mendapatkan rawatan di klinik di bandar raya berkenaan akibat jangkitan virus berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!