Sembilan pelajar tahfiz belum sah Covid-19
KEPALA BATAS - Polis menafikan mesej dan perbualan tular mendakwa kononnya sembilan pelajar tahfiz di Pekan Darat, di sini positif koronavirus (Covid-19).
Mesej dan perbualan disebarkan melalui aplikasi Whatsapp itu menunjukkan beberapa keping gambar beberapa orang dibawa polis menaiki sebuah lori sambil dipantau kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil semakan dengan KKM, tujuh pelajar tahfiz warganegara Kemboja itu belum disahkan positif Covid-19, sebaliknya baharu selesai menjalani saringan pertama dan perlu dikuarantin.
"Bagaimanapun, KKM mendapati persekitaran tempat terbabit tidak sesuai untuk dikuarantin kerana semua pelajar tersebut masih tinggal secara berkumpulan.
"Oleh itu, tujuh pelajar tahfiz tersebut dibawa pihak KKM dengan menggunakan sebuah lori milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk dihantar ke pusat kuarantin di Seberang Perai Selatan agar kaedah kuarantin dapat dijalankan dengan baik dan betul," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, orang ramai diminta berhenti daripada terus menyebarkan gambar serta perbualan berkaitan pelajar tahfiz tersebut.
"Orang ramai jangan terus menyebarkan maklumat yang tidak benar kerana ia akan mengganggu gugat keharmonian serta mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!