Covid-19: Gelandangan ditempatkan di pusat transit

Annuar Musa semasa Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Annuar Musa semasa Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu gelandangan yang berkeliaran sekitar ibu kota ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan akan diatasi dengan penempatan di lokasi bersesuaian.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang boleh menampung sehingga 150 orang sementara Anjung Singgah sebanyak 70 orang adalah alternatif jangka masa pendek bagi permasalahan itu.

Menurutnya, Anjung Singgah tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana masalah kekurangan bantal dan tilam.

"Masalah kecil itu perlu diatasi dan saya telah meminta bantuan dari pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membeli barangan itu.

"Saya nak ajak gelandangan duduk satu tempat dan jangan merayau-rayau. Kita akan hantar makanan tiga kali sehari," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Annuar berkata, pihaknya menyambut baik usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan isu tersebut, namun berharap bentuk bantuan itu dapat diselaraskan dan diagihkan secara teratur.

"Sebanyak sembilan pusat pengumpulan bantuan makanan disediakan. Kita tak galakkan NGO pergi sendiri ke pusat transit kerana tiada penjarakan sosial dibimbangi membawa kemudaratan kepada sukarelawan.

"Jadi kita selaraskan bentuk bantuan ini dan pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bekerjasama mengagihkan bekalan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Annuar memaklumkan seramai 806 jemaah tabligh yang berada di Masjid Sri Petaling akan dipindahkan secara berperingkat ke pusat kuarantin sekitar ibu kota.

"Pemindahan itu bermula semalam diuruskan oleh KKM dan Nadma ke Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mereka akan diberikan makan minum dan kesihatannya dipantau oleh petugas untuk tempoh masa tertentu sehingga dibenarkan untuk keluar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!