Aswara siap sedia hadapi kemungkinan PKP dilanjutkan
KUALA LUMPUR - Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (Aswara) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan kerajaan selepas tarikh 31 Mac ini.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Aswara, Amir Hakim berkata, pihaknya memahami usaha murni kerajaan yang memerlukan masa untuk membendung penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, langkah persiapan Aswara adalah dengan melanjutkan kalendar pengajian tahunan akademi itu bagi memastikan keseluruhan kursus pengajian dapat ditamatkan mengikut jam diperuntukkan.
Selain itu, Amir menegaskan Aswara turut menggalakkan pensyarah menganjurkan kelas pengajian masing-masing secara dalam talian.
"Paling penting, sejak bermulanya PKP pada 16 Mac lalu, Aswara mengambil inisiatif menjaga kebajikan 42 pelajarnya yang masih tinggal di asrama akademi itu dengan memberi sumbangan makanan sebanyak empat kali sehari dengan nilai keseluruhan RM23 setiap pelajar.
"Pada masa sama, pentadbiran Aswara turut memutuskan untuk meningkatkan tahap keupayaan perkhidmatan wifi bagi memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang bakal mengikuti kelas pengajian secara dalam talian," katanya kepada Sinar Harian di pekarangan bangunan asrama Aswara di sini hari ini.
Terdahulu, kesemua pelajar Aswara meliputi pelbagai kursus pengajian yang tinggal di asrama diberi sumbangan pek makanan tengah hari oleh Rektor Aswara, Profesor Madya Dr Sahar Sa'di Hashim.
Lebih menarik, kesemua pelajar terbabit dikehendaki menjalani ujian saringan suhu badan yang dikendalikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Aswara, Datuk Muhammad Nasir Hamzah terlebih dahulu.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Aswara, Raja Nor Sheela Raja Azidin berkata, amalan mewajibkan pelajar menjalani ujian saringan suhu badan setiap enam jam sekali adalah langkah pencegahan awal diusahakan pihaknya bagi memastikan kawasan akademi itu bebas Covid-19.
Selain itu, beliau menegaskan pengurusan Aswara tidak membenarkan penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan seperti Food Panda dan Grab Food dalam kalangan pelajar.
"Dalam keadaan mereka dikehendaki tidak keluar dari asrama, pihak kami masih menggalakkan penganjuran aktiviti dan permainan secara 'indoor' bagi memastikan fizikal dan mental mereka kekal cergas dan cerdas.
"Ada dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama tidak pulang ke rumah kerana kampung halaman jauh seperti Sabah dan Sarawak. Tetapi ada juga yang rumah keluarga dekat tetapi memutuskan untuk menetap di asrama kerana mahu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Aswara akan sentiasa memastikan setiap bantuan dan penjagaan aspek kebajikan setiap pelajar diberi perhatian serius sepanjang tempoh PKP dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, bagi pelajar Tahun Satu Diploma Muzik Aswara, Osama Yamani Jamal Abdillah,19, keputusannya tidak pulang ke rumah keluarga walaupun dekat adalah tepat demi mematuhi saranan kerajaan.
Dia yang juga anak kepada penyanyi legenda, Jamal Abdillah turut bersyukur dengan keprihatinan ditunjukkan pengurusan Aswara yang sentiasa memastikan kebajikan pelajarnya sentiasa terbela sehingga kini.
"Sebenarnya, ayah saya sendiri langsung tidak bimbang dengan keadaan saya di sini kerana kemudahan dan keprihatinan diberikan pengurusan Aswara sentiasa pada tahap terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nasir yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Raja Nor Sheela bagi membantu aspek kebajikan pelajar Aswara sepanjang tempoh PKP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!