Shuib keluarkan produk pembersih tangan

Shuib
Shuib
A
A
A

PENULARAN wabak pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin serius di Malaysia membuatkan rakyat berpusu-pusu mendapatkan bekalan penutup hidup dan mulut, pembersih tangan (hand sanitizer) dan beberapa barang penjagaan diri bagi mencegah daripada dijangkiti.

Kekurangan bekalan barangan tersebut di pasaran sejak akhir-akhir ini mendorong pelawak, pelakon dan penyampai radio, Shuib Sepahtu untuk mengeluarkan produk hand sanitizer, Be Safe.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 36, dia terpanggil untuk mengeluarkan produk terbabit kerana kasihan melihat orang ramai tercari-cari hand sanitizer sehingga ada yang ditipu apabila memberi secara atas talian.

"Saya ada contact dengan kilang pengeluar hand sanitizer dan memandangkan permintaan tinggi kini, saya kira ini masa yang sesuai untuk saya tampil dengan produk hand sanitizer sendiri.

"Bukan mahu ambil kesempatan tapi saya buat kerana ia adalah keperluan pada masa kini dan stok pula terhad," ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Shuib, produk tersebut sudah mula berada di pasaran dan akan diagihkan ke beberapa farmasi dan hospital.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Shuib berkata, tugasnya sebagai penyampai radio menerusi segmen Geng Pagi Hot di Hot FM masih berjalan secara giliran.

Bagaimanapun kebanyakan masa dihabiskan di rumah bersama isteri, Siti Sarah Raisuddin dan tiga orang anaknya iaitu Uwais Alqarni, 9; Dzahira Talita Zahra, 6, dan Ariq Matin, 4.

Artikel Berkaitan:

"Saya ikut arahan kerajaan, habiskan masa di rumah dan Alhamdulillah saya memang lebih suka duduk di rumah. Kalau bersenam pun saya buat dalam rumah.

"Saya ambil peluang luangkan masa dengan keluarga, kemas rumah, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja bahagian dalam rumah yang berubah.

"Buat masa ini, saya tutup kedai Bubble Bee di Shah Alam sebab tak mahu mendedahkan pekerja dan pelanggan kepada risiko," ujarnya.

Mengakui beberapa perancangan berkaitan perniagaan dan karier tertangguh, Shuib bagaimana melihat dugaan ini dari sudut positif dan berharap Malaysia akan cepat pulih daripada wabak Covid-19.

"Tidak dinafikan banyak perancangan tertangguh terutamanya berkaitan pembukaan 12 cawangan Bubble Bee seperti di Johor, Kuantan, Bangi, Ampang dan Setapak.

"Tapi saya bertuah kerana mereka yang bekerjasama dengan saya untuk membuka cawangan Bubble Bee memahami.

"Untuk karier pula, hanya program Sepahtu Reunion yang tertangguh dan ikutkan kami ada baki 10 episod untuk diselesaikan termasuk rakaman Sepahtu Reunion puasa dan raya," akhirinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!