Penghuni PA/PPR boleh guna parkir bertingkat secara percuma: DBKL
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan kemudahan parkir bertingkat dibuka secara percuma kepada penduduk Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Unit Media DBKL memaklumkan ia melibatkan kemudahan di PPR Pekan Kepong, Intan Baiduri, Raya Permai, Seri Kota, Taman Mulia dan Seri Pantai.
Menurutnya, langkah itu sebagai mengelak kesesakan dan bertujuan melancarkan perkhidmatan fasiliti di sekitar kawasan perumahan tersebut.
"Kebenaran ini tertakluk kepada penghuni PA dan PPR tersebut. Tidak dibenarkan penghuni luar menggunakan kemudahan itu. Jika ada, aduan perlu dikemukakan ke Pejabat Kecil Perumahan.
"Kereta perlu diletakkan dalam petak parkir dan dilarang sama sekali untuk membuat halangan dengan parkir bertindih," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan sama menyebut, kemudahan itu diberikan kepada kenderaan ringan sahaja terkecuali kepada van, lori atau kenderaan berat.
"Tidak dibenarkan juga penghuni meletakkan kereta usang dan terbiar di parkir bertingkat itu atau tindakan penguatkuasaan akan dikenakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!