'Berbaik sesama manusia, terbaik abam'
SUNGAI PETANI - Tindakan seorang bekas polis yang membantu menyediakan rumah tumpangan untuk dua pelancong dari Jepun dilihat menaikkan maruah dan imej Malaysia di mata dunia.
Kisah itu dikongsi Azman Ali di akaun Facebook miliknya hari ini yang turut memberitahu rakannya dikenali sebagai Subri didatangi dua rakyat Jepun bernama Miko dan Miki dua hari lalu.
Menurutnya, pelancong tersebut menaiki basikal tiba di rumah Subri di Tikam Batu di sini pada waktu Maghrib dan mendakwa tiada tempat untuk dituju dan berharap ada tempat bermalam.
Kata rakannya, usai solat Maghrib, Subri mengemas rumah tumpangan sebelum membenarkan pasangan itu bermalam.
"Ketika itu mereka sangat lapar bertanya lagi di mana kedai makan, abang Subri kata tiada kedai makan dalam kampung ni dan dia terus masuk dalam rumah masak burger untuk mereka berdua.
"Apa lagi senyum gembira mereka sebab ada orang sudi membantu di saat terdesak begini. Memang abang Subri tak berniat nak ganggu mereka malam tu, biarkan mereka berehat." tulisnya menarik perhatian ramai.
Menurutnya, jumlah kos penginapan juga adalah percuma dan rakannya itu hanya menjawab 'Free for Musafir' kepada rakyat Jepun itu.
"Dari perbualan saya dengan abang Subri, katanya kalau sesiapa pun dalam kesusahan datanglah ke homestaynya insya-ALLAH kalau kosong bermalamlah.
"Abang subri juga seorang yang suka mengembara dan dia tahu sangat perasaan pengembara tambah-tambah disaat genting macam sekarang. Bagi saya, abang Subri dah mengharumkan nama Malaysia dan masyarakat kita, pasti pengembara ini akan sebut tentang kebaikan Malaysia nanti," katanya.
Perkongsian penuh inspirasi itu menarik perhatian netizen yang memuji keikhlasan abang Subri membantu golongan memerlukan ketika berada dalam situasi sukar.
"Berbaik sesama manusia, terbaik abam." kata Depu Baling.
Kata Nazri King, "Sempoi abang, terbaik semoga ALLAH balas jasa baik abang. Amin."
Don pula berkata, "Mengharumkan nama negara. Terbaik."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!