Felda tangguh pembayaran secara tunai, cek

Proses pembersihan dan nyahkuman di Menara Felda dilakukan mulai 20 Mac lepas bagi mengekang penularan Covid-19.
Proses pembersihan dan nyahkuman di Menara Felda dilakukan mulai 20 Mac lepas bagi mengekang penularan Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menangguhkan urusan pembayaran kepada peneroka, pembekal, kontraktor dan vendor bagi memberi laluan kepada proses pembersihan dan nyahkuman di Menara Felda mulai 20 Mac lepas hingga 25 Mac ini demi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporat Felda bagaimanapun memaklumkan pembayaran kepada peneroka yang mendaftar akaun bank berjumlah RM13.83 juta telah dilaksanakan mengikut jadual pada minggu ini.

"Baki bayaran peneroka serta pembayaran kepada pembekal, kontraktor dan vendor akan dilaksanakan pada 1 April 2020," kata kenyataan itu.

Felda menjelaskan keputusan penangguhan hanya melibatkan peneroka yang menerima bayaran secara tunai sahaja serta pembayaran pembekal, kontraktor dan vendor melalui cek.

"Urusan pembayaran peneroka ini akan dilaksanakan setelah proses pembersihan Menara Felda selesai dijalankan. Urusan berkaitan pembekal, kontraktor dan vendor akan dilaksanakan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat," katanya.

Sehubungan itu, agensi itu meminta peneroka membuka akaun bagi yang belum berbuat demikian dan/atau mengaktifkan akaun sedia ada bagi memudahkan proses pembayaran pada masa hadapan.

"Ia untuk memudahkan transaksi bayaran secara pindahan bank dalam talian tanpa melibatkan urusan pembayaran tunai di tanah rancangan," katanya.

Felda juga menggesa warga peneroka, pihak kontraktor dan pihak berkepentingan yang terjejas akibat Covid-19 untuk bersabar serta memahami situasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pengurusan Felda sentiasa memandang berat perkara ini dan akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menghadapi kesukaran ini. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!