MOTAC perkenal kempen pelancongan baharu ganti VM2020

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan memperkenalkan kempen pelancongan baharu bagi menggantikan kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020) yang dibatalkan akibat koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kempen baharu itu bersifat jangka panjang yang akan memperkukuhkan jenama ‘Malaysia, Truly Asia’ dan mengetengahkan pengalaman unik yang terdapat di Malaysia.

"Bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan di rantau ini, MOTAC akan memperkenalkan kempen pelancongan baharu.

"MOTAC yakin usaha ini akan mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri pelancongan negara di samping memastikan industri ini inklusif," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 Mac lepas, Nancy mengumumkan VM2020 dibatalkan serta-merta bagi mencegah penularan Covid-19 selain impak wabak yang menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia serta dunia.

Berikutan wabak Covid-19, kata Nancy, anggaran semasa kerugian yang dihadapi pemain industri pelancongan negara seperti sektor penginapan, pengangkutan, beli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara perniagaan bagi tempoh Januari hingga Mac 2020, melebihi RM9 bilion.

Sehubungan itu katanya, hasil perbincangan bersama pemain industri pada 17 Mac lepas, satu pelan tindakan strategik akan diperkenalkan.

"MOTAC telah melakar pelan tindakan strategik untuk membantu merancakkan kembali industri ini dan memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri ini terjamin.

Artikel Berkaitan:

"Antara pihak yang hadir adalah wakil persatuan-persatuan dari industri penginapan, pelancongan, operator bas, peniaga, pemandu pelancong dan pemandu teksi. Perbincangan itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC)," katanya.

Nancy berkata, MOTAC akan berbincang dengan Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan bagi memperhalusi semua pandangan yang dikemukakan pemain industri pelancongan terutamanya berkaitan dengan bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada industri itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!