Bantuan tunai untuk rakyat

A
A
A

KITA sudah masuk hari kelapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini juga, kita dinasihatkan untuk kekal berada di rumah dan tidak keluar rumah melainkan terdapat keperluan yang dibenarkan seperti yang digariskan oleh PKP. Langkah yang diambil oleh kerajaan itu penting bagi memastikan penularan virus Covid-19 dapat dikawal. Ia juga memberikan kesan kepada ekonomi rakyat dan negara.

Sebagai contoh, mereka yang berada dalam sektor pertanian seperti petani, peladang, nelayan dan pekebun terkesan teruk kerana kebergantungan tinggi pada hasil jualan tunai harian mereka daripada pembeli dan peraih. Ada pembeli adalah tunai yang boleh bawa ke rumah.

Mereka yang makan gaji pula terpaksa menghadapi tindakan majikan melaksanakan cuti tanpa gaji dan gaji hari untuk mengurangkan kos operasi bagi menghadapi penurunan mendadak permintaan barangan dan perkhidmatan dalam negara, malahan ada yang diberhentikan kerja kerana kos lebih tinggi daripada hasil jualan.

Tindakan segera harus diambil bagi mengeluarkan Malaysia daripada kitaran ekonomi negatif ini. Kelewatan melaksanakannya hanya akan mengundang lebih mudarat dan berkemungkinan lebih ramai akan hilang pendapatan kelak dan negara akan mengalami penguncupan KDNK buat kali pertama sejak Krisis Kewangan Global 2008.

Justeru, Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) untuk menghadapi kesan Covid-19 telah diadakan dan baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada mengumumkan cadangan sebuah PRE khas yang lebih menyeluruh untuk dilaksanakan.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu segera mempertimbangkan untuk melaksanakan Bantuan Langsung Tunai atau Cash Transfer terus kepada rakyat. Melalui kaedah ini, sejumlah wang diperuntukkan dan disalurkan terus kepada penerima yang layak khususnya golongan B40 dan M40.

Melalui bantuan itu, peruntukan dana kerajaan akan disuntik ke dalam ekonomi negara apabila penerima membelanjakan wang itu. Wang yang dibelanjakan itu akan merangsang ekonomi dengan peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan kerana rakyat mampu untuk berbelanja.

Artikel Berkaitan:

Pemulihan

Bantuan tunai itu boleh disusun dan direkabentuk sebagai sebuah polisi ekonomi berasaskan keperluan di mana penerima ditentukan oleh nilai pendapatan isi rumah. Ia merentas perbezaan agama, bangsa, etnik, keupayaan fizikal malahan umur.

Contoh termudah dan pernah dilaksanakan dalam negara adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). BR1M adalah contoh pelaksanaan bantuan tunai paling berjaya. Sejumlah RM32.4 bilion disalurkan terus ke dalam ekonomi negara dari tahun 2012 sehingga 2018 dan seramai lebih 7.2 juta penerima beroleh manfaat.

Ada yang mengkritik bahawa BR1M adalah satu bentuk rasuah, tetapi ramai terlupa bahawa bantuan tunai itu adalah saranan Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri kepada kerajaan ketika itu.

Dalam keadaan ekonomi yang terjejas teruk akibat Covid-19 ini, pemulihan paling pantas untuk menggerakkan ekonomi negara perlu diberi keutamaan dan bantuan tunai menepati objektif ini. Banyak negara juga mempertimbangkan kaedah ini.

Amerika Syarikat dalam Pakej Rangsangan Ekonominya bernilai AS$1.8 trilion mengumumkan untuk mengagihkan AS$1,000 kepada rakyat mereka yang layak. Singapura juga mengumumkan agihan SGD100-300 kepada semua rakyatnya dan Australia juga menimbang pemberian secara one-off sebanyak AUD750 kepada rakyat mereka bagi menghadapi Covid-19.Soal berkenaan kemampuan Perbendaharaan negara untuk melaksanakan bantuan tunai, itu kita serahkan pada kerajaan.

Apa pun keputusannya kelak, kepentingan negara dan kemaslahatan rakyat harus diberikan keutamaan.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!