Saringan di Klinik Kesihatan Tawau untuk jemaah tabligh mulai esok
TAWAU - Jawatankuasa Teknikal Bencana Daerah Tawau akan menyediakan khemah khas bagi memudahkan jemaah tabligh di daerah itu menjalani saringan kesihatan koronavirus (Covid-19) di Klinik Kesihatan Tawau selama dua hari mulai esok.
Pengerusinya, Datuk Dr Ir Amrullah Kamal yang juga Presiden Majlis Perbandaran Tawau berkata, saringan kesihatan itu dibuat bagi menggalakkan lebih ramai anggota jemaah tabligh di daerah itu tampil melakukan saringan kesihatan bagi mengetahui sama ada mereka bebas daripada jangkitan Covid-19 atau sebaliknya.
“Saringan kesihatan ini akan diadakan selama dua hari mulai esok bermula jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru, Amrullah menggesa semua jemaah tabligh yang masih belum membuat saringan kesihatan agar mengambil inisiatif itu bagi membolehkan petugas klinik kesihatan terbabit membuat pemeriksaan lanjut.
Untuk maklumat lanjut, jemaah tabligh Tawau boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Tawau di talian 016 - 618 4959. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!