Video Trump menari di Malaysia raih lebih 21.5 juta tontonan

KUALA LUMPUR - Video yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menari semasa lawatan beliau ke Malaysia bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan telah tular menerusi media sosial menarik lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform.
Penasihat Trump Alex Bruesewitz menyifatkan video itu mempunyai daya tarikan yang kuat sehingga meningkatkan populariti dalam media sosial.
"Video yang dirakam oleh @margomartin memaparkan Presiden Trump menari di Malaysia melepasi satu juta tanda suka dalam Instagram @TeamTrump dan meraih 21.5 juta tontonan. Video itu turut menerima 17.1 juta tontonan menerusi Facebook dan 9.3 juta di TikTok.
"Trump ialah pemimpin dunia dan raja media sosial,” katanya dalam hantaran X pada Isnin.
Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin yang menyiarkan semula hantaran Bruesewitz berkata klip itu menunjukkan Trump berinteraksi mesra dengan delegasi dan turut menari mengikut rentak muzik tempatan.
"Lapan tahun bersama dengan Presiden Trump dan mungkin inilah video kegemaran saya setakat ini,” katanya.
Video berkenaan juga menerima pelbagai reaksi daripada pengguna X seperti @KarlDHarrison yang meninggalkan komen, "Realitinya ialah Trump menyayangi rakyat dan ia jelas kelihatan. Mereka juga menyayanginya”.
Sementara itu, @kellyannelu menyifatkan Trump seorang yang baik hati dan klip video itu mencerminkan sikap mesra dan mudah didekati beliau.
"Beliau banyak mengembara, tetapi masih mempunyai tenaga untuk berhenti seketika dan menari dengan gembira. Perkara ini membuatkan saya tersenyum,” katanya.
Presiden AS itu tiba di sini kira-kira 10 pagi pada Ahad dan berlepas pada 10.06 pagi tadi menandakan tamatnya lawatan julung-julung kali beliau ke Malaysia dan penyertaan pertama dalam Sidang Kemuncak ASEAN sejak memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lepas.
Trump merupakan Presiden AS ketiga dalam sejarah melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 dan 2015.
Malaysia memegang tampuk kepengerusian ASEAN tahun ini di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga esok. - Bernama
Ringkasan AI
- Video Trump menari semasa lawatan beliau ke Malaysia telah menjadi tular dan menarik lebih 21.5 juta tontonan
- Video tersebut dirakam di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mendapat jutaan tontonan di Instagram, Facebook, dan TikTok
- Penasihat Trump menyatakan video itu meningkatkan populariti Trump dalam media sosial
- Margo Martin yang menyiarkan video itu, berkata ia menunjukkan interaksi mesra Trump dengan delegasi dan menari mengikut rentak muzik tempatan
- Trump merupakan Presiden AS ketiga yang melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson dan Barack Obama, dan lawatan ini adalah bagi penyertaannya dalam Sidang Kemuncak ASEAN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
