Galak pencarum KWSP buat i-Lestari secara dalam talian mulai 1 Mei

Pencarum KWSP digalakkan melakukan pengeluaran wang caruman melalui program i-Lestari secara dalam talian mulai 1 Mei ini.
Pencarum KWSP digalakkan melakukan pengeluaran wang caruman melalui program i-Lestari secara dalam talian mulai 1 Mei ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri menggalakkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melakukan pengeluaran wang caruman melalui program i-Lestari secara dalam talian mulai 1 Mei ini.

Beliau berkata, kaedah pengeluaran secara dalam talian lebih efisien dan selamat selain boleh diproses dengan lebih cepat dalam tiga hari bekerja berbanding kaedah lain iaitu menerusi e-mel atau pos yang perlu melalui proses semakan terperinci selain mengambil masa lebih lama.

Menurutnya, permohonan secara dalam talian itu juga boleh dibuat menerusi laman sesawang dan laman Facebook KWSP.

“Kaedah ini juga bagi mengelakkan kehadiran pencarum secara beramai-ramai di kaunter berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa sekarang.

“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan kepada semua pencarum supaya tidak mudah terperangkap dengan mana-mana sindiket penipuan yang sentiasa berusaha mencari peluang untuk menipu dan mengambil kesempatan daripada program i-Lestari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pencarum KWSP berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan bermula 1 April.

Inisiatif diumumkan sebagai satu daripada langkah menangani impak penularan wabak koronavirus (Covid-19) itu dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta pencarum dengan jumlah pengeluaran dianggarkan bernilai RM40 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencarum KWSP dibenar keluarkan wang simpanan Akaun 2

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim berkata, agregat ini sudah tentu memberi kesan berganda kepada ekonomi negara khususnya sektor peruncitan dan menurutnya, kaedah itu adalah yang terbaik dipilih hasil daripada perbincangan Majlis Tindakan Ekonomi dalam usaha menangani isu ekonomi negara.

Mengenai cadangan menggunakan kaedah percukaian bagi membantu B40, Abdul Rahim menjelaskan golongan B40 berpendapatan RM46,000 setahun atau RM3,833 sebulan dan berkeluarga dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Ini adalah inisiatif tambahan selain Bantuan Sara Hidup yang dilaksanakan kerajaan selama ini melibatkan 3.8 juta penduduk dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion setahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!