Kilang proses tayar lama terbakar
BERA - Seramai 20 pekerja kilang memproses tayar lama terselamat dalam kebakaran di jalan utama Bukit Mendi, di sini, petang semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, sekurang-kurangnya 60 peratus bahagian kilang berkenaan musnah terbakar.
Menurutnya, seramai 13 anggota dan lima pegawai dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Triang dan Bukit Angin bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.44 petang dengan melibatkan tiga buah jentera pemadam (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah Kembara.
"Kilang tersebut mempunyai lapan blok berasingan dan tujuh blok dapat diselamatkan. Pekerja-pekerja kilang telah berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
"Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 6.46 petang. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, operasi pemadaman turut mendapat khidmat daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kemayan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!