Gesa perluaskan ujian saringan Covid-19

Pusat Kuarantin di Institut Sosial Malaysia (ISM). - Foto Bernama
Pusat Kuarantin di Institut Sosial Malaysia (ISM). - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ujian saringan koronavirus (Covid-19) perlu diperluaskan terutama kepada kakitangan perubatan di klinik dan hospital yang bergejala.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ashok Zachariah Philip berkata, mereka yang demam dan batuk juga perlu disaring walaupun tidak mempunyai sejarah ke negara berisiko atau kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19.

"Ini kerana kita tidak tahu atau lupa dengan siapa kita pernah berjumpa dalam tempoh beberapa hari lalu. Kakitangan klinik dan hospital pula sangat berisiko dijangkiti," katanya.

Ujian saringan Covid-19 hanya dihadkan kepada individu yang bergejala dengan memenuhi dua kriteria lain iaitu sama ada mempunyai sejarah perjalanan ke negara berisiko atau kontak rapat pesakit positif Covid-19.

Sementara itu, Dr Ashok berkata, kaedah PCR (mengesan genetik virus) yang digunakan Kementerian Kesihatan (KKM) disifatkan lebih tepat berbanding Rapid Test Kit.

"Badan kita hanya akan menghasilkan antibodi melawan Covid-19 selepas beberapa hari sudah dijangkiti. Jika ujian dibuat awal, kita tetap akan dapat keputusan negatif.

"Dalam situasi penularan yang cepat sekarang, kaedah PCR lebih tepat tapi keputusan ambil masa 24 jam hingga 30 jam kerana dihantar ke makmal ujian," katanya.

Dalam masa sama beliau berkata, KKM bertindak pantas mempertingkatkan keupayaan makmal sedia ada bagi menjalankan ujian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan turut berkemampuan menampung kos ujian menggunakan kaedah PCR yang dianggarkan sekitar RM500 hingga RM600 seorang.

"Ada juga hospital swasta yang menyediakan perkhidmatan ini dengan kadar lebih tinggi," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan menambah kapasiti kemampuan jumlah ujian PCR bagi kes Covid-19 sehingga 16,000 kes sehari berbanding 3,500 kes sehari pada masa ini.

Menurutnya, ketika ini terdapat 23 makmal termasuk lima makmal swasta bagi tujuan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!